
Oleh BIANCA HILMAN
NEW YORK: Filem ‘slasher’ terbaharu, Scream 7, mencatat sejarah apabila meraih kutipan pembukaan tertinggi (dalam tempoh tiga hari dari Jumaat hingga Ahad) dalam francais itu dengan AS$64.1 juta di Amerika Utara.
Tiga dekad selepas filem slasher asal, Scream ditayangkan, kejayaan luar jangkaan itu diumumkan studio penerbitannya, sekali gus memberi kemenangan besar kepada Paramount Pictures dalam suasana kutipan box-office 2026 yang agak perlahan.
Filem berkenaan turut menambah AS$33.1 juta di pasaran antarabangsa, menjadikan jumlah kutipan global hujung minggu pembukaannya hampir mencecah lebih AS$100 juta.
Scream 7 yang menelan kos pembikinan sekitar AS$45 juta mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh Scream VI, yang sebelum ini mencatat kutipan pembukaan sebanyak AS$44.4 juta.
Kejayaan Scream 7 didorong oleh kembalinya aktres Neve Campbell sebagai watak ikonik siri filem Scream, Sidney Prescott.
Campbell sebelum ini tidak muncul dalam Scream VI kerana tidak berpuas hati dengan bayaran untuk khidmat lakonannya, namun dilaporkan kembali untuk filem ketujuh dengan bayaran sekitar AS$7 juta.
Turut membintangi filem ini ialah barisan pelakon asal Scream iaitu Courteney Cox, David Arquette dan Matthew Lillard.
Filem berkenaan diarahkan oleh Kevin Williamson, yang juga penulis filem asal Scream yang ditayangkan pada 1996 serta beberapa sekuel lain.
Kali ini, jalan cerita memfokuskan kepada Sidney dan anak perempuannya yang berusia 17 tahun yang dihantui Ghostface di komuniti pinggir bandar Pine Grove.
Bagaimanapun, filem itu menerima ulasan kurang memberangsangkan dengan skor 34 peratus di Rotten Tomatoes serta penarafan B- daripada CinemaScore.
Produksi Scream 7 turut berdepan kontroversi apabila bintang utama Scream VI, Melissa Barrera digugurkan oleh penerbit Spyglass Media Group susulan kenyataannya berhubung konflik Israel-Hamas yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai antisemitik, sebelum seorang lagi pelakon utama Scream VI, Jenna Ortega kemudiannya menarik diri daripada projek filem itu.
Dalam perkembangan berkaitan, kejayaan Scream 7 itu hadir ketika Paramount Global mengumumkan rancangan penggabungan dengan Warner Bros. Discovery, selepas Netflix dilaporkan menarik diri daripada rundingan. Perjanjian itu masih menunggu kelulusan kawal selia.
Presiden pemasaran dan pengedaran global Paramount, Josh Goldstine, menyifatkan pelancaran Scream 7 sebagai permulaan baharu bagi studio itu selepas penggabungan bernilai AS$8 bilion dengan Skydance yang diterajui David Ellison.
Beliau turut mengaitkan kejayaan filem itu dengan komitmen studio terhadap tayangan pawagam, termasuk janji tempoh tayangan minimum selama 45 hari di layar perak.
Scream 7 yang turut dibintangi barisan pelakon Isabel May, Mason Gooding, Jasmin Savoy, McKenna Grace, Anna Camp, Michelle Randolph, Celeste O Connor, Sam Rechner, Asa Germann dan Joel McHale.
Di Malaysia, Scream 7 bakal mula ditayangkan di rangkaian pawagam seluruh negara menjelang Khamis, 5 Mac 2026.
