
Oleh BIANCA HILMAN
DUNIA hiburan perfileman global dikejutkan dengan kemunculan raja box-office baharu; dan kali ini ia datang daripada kisah legenda Raja Pop sendiri.
Filem biopik Michael terbitan Lionsgate mencipta sensasi luar biasa apabila meraih kutipan tiket AS$97 juta hasil tayangan rangkaian pawagam di seluruh di Amerika Utara dan melonjak kepada AS$217 juta di seluruh dunia hanya pada hujung minggu pertama tayangan (selama tiga hari dari Jumaat hingga Ahad).
Ini menjadikan Michael bukan sahaja sudah balik modal dalam tempoh tiga hari tayangan, tetapi juga mencatat rekod baharu kutipan minggu pembukaan tertinggi sepanjang zaman untuk filem biopik, mengatasi rekod filem mengenai keangkitan kumpulan hip-hop N.W.A, Straight Outta Compton (2015) yang sebelum ini mencatat AS$60 juta.
Lebih mengagumkan, pencapaian ini juga mengatasi kutipan permulaan filem biopik Freedy Mercury dan band, Queen , Bohemian Rhapsody (2018), dengan hanya AS$51 juta tetapi akhirnya mengumpul kutipan AS$910 juta di seluruh dunia.
Menariknya, jangkaan awal kutipan minggu pembukaan untuk filem ini hanyalah sekitar AS$50 juta hingga AS$60 juta.
Namun, momentum terus meningkat menjelang tayangan, membuktikan aura Michael Jackson masih kuat memikat penonton global.
Menerima ulasan sangat positif teruyama dengan 97% di Rotten Tomatoes), Michael meraih reaksi hangat penonton global.
Filem yang dihasilkan dengan kos AS$200 juta ini juga mendapat gred ‘A-’ dalam tinjauan CinemaScore, satu lagi bukti menunjukkan ia meraih sambutan hangat daripada peminat filem di seluruh dunia.
Data PostTrak pula mendedahkan bahawa 61 peratus penonton adalah wanita, manakala 66% berusia 25 tahun ke atas.
“Anda tidak akan mendapat angka seperti ini tanpa sokongan besar daripada semua lapisan penonton,” kata pengerusi filem Lionsgate, Adam Fogelson.
“Jelas sekali mereka menikmatinya, dan itu petanda yang sangat baik,” tambahnya.
Diarahkan oleh Antoine Fuqua, Michael menampilkan perjalanan awal Michael Jackson bersama Jackson 5 hingga menjadi antara penghibur terbesar dunia.
Menampilkan Jaafar Jackson, anak saudara sebenar penyanyi itu, yang membuat debut lakonan sebagai Michael, disokong oleh lakonan Colman Domingo dan Nia Long masing-masing untuk karakter ibu dan bapa Michael, Joe dan Katherine Jackson.
Namun, filem ini tidak terlepas daripada kontroversi. Pengkritik menyuarakan bahawa penceritaan dilihat terlalu selamat kerana tidak menyentuh dakwaan penderaan seksual kanak-kanak yang pernah dikaitkan dengan Michael Jackson di penghujung kerjayanya.
Apa pun pandangan pengkritik, satu perkara jelas Michael sudah pun menawan hati penonton dan membuktikan bahawa legasi Raja Pop masih hidup, kuat, dan mampu menggoncang box-office.– VOOLORA 27/4/2026
