Saturday, May 23

‘Bella Hadid wears Prada’

Oleh BIANCA HILMAN

JUDUL filem terbaharu filem lakonan Meryl Streep dan Anne Hathaway The Devils Wears Prada bertukar menjadi Bella Hadid Wears Prada pada acara karpet merah Festival Filem Cannes 2026.

Supermodel terkenal dunia itu kembali mencuri perhatian dalam acara kegemilangan filem yang berlangung di bumi Perancis itu apabila tampil anggun pada tayangan perdana filem Garance pada Ahad dengan busana eksklusif daripada Prada.

Kemunculan penuh elegan dan glamor supermodel mencuri perhatian umum pada Festival Filem Cannes 2026.

Bella mengenakan gaun satin kelabu tanpa tali dengan perincian sulaman kristal yang menyerlahkan elemen glamor dan elegan. 

Penampilan itu turut dipadankan dengan jubah sedondon bercorak berganda berlengan gaya bomber serta kasut tumit tinggi kulit putih daripada rumah fesyen mewah Itali tersebut.

Melengkapkan penampilannya, Bella memakai koleksi berlian mewah daripada Chopard termasuk anting-anting berjuntai dan tiga cincin berkilauan. 

Model itu dilantik sebagai duta jenama Chopard pada Ogos 2024 dan sejak itu aktif muncul dalam beberapa kempen eksklusif syarikat barang kemas berkenaan.

Bella Hadid diiringi adiknya, Anwar Hadid pada acara karpet merah Festival Filem Cannes 2026.

“Saya sangat menghargai mutu kerja Chopard dan telah menjadi pengagum mereka selama bertahun-tahun. 

“Saya sangat teruja untuk menyertai keluarga Chopard,” kata Bella ketika pengumuman pelantikannya sebagai duta jenama itu.

Sementara itu, presiden bersama dan pengarah artistik Chopard, Caroline Scheufele, menyifatkan Bella sebagai simbol keanggunan moden yang seiring dengan identiti jenama berkenaan.

Festival Cannes tahun ini turut menjadi simbolik buat Bella apabila menandakan sedekad sejak kemunculan pertamanya di festival filem berprestij itu. 

Ketibaan Bella dan Anwar Hadid pada Festival Filem Cannes 2026.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau sering mencuri perhatian menerusi penampilan ikonik daripada jenama seperti Jacquemus, Saint Laurent dan Versace.

Edisi ke-79 Festival Filem Cannes berlangsung dari 12 hingga 24 Mei 2026 dengan barisan filem antaranya “Fatherland” lakonan Sandra Hüller, “Full Phil” yang dibintangi Kristen Stewart serta “Paper Tiger” arahan James Gray.

Turut menjadi juri festival tahun ini ialah Demi Moore, Ruth Negga dan pembikin filem Korea Selatan, Park Chan-wook. – VOOLORA 20/5/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *