Saturday, May 23

Jay Chou ‘shopping’ lukisan RM79 Juta

Oleh BIANCA HILMAN

JAY Chou sekali lagi mencuri perhatian netizen selepas dilaporkan membelanjakan jutaan dolar untuk mendapatkan sebuah lukisan karya pelukis legenda Perancis, Henri Matisse.

Penyanyi terkenal Taiwan berusia 47 tahun itu membeli lukisan minyak bertajuk The Morning Session yang dihasilkan pada tahun 1924 dengan harga AS$20 juta (RM79.3 juta).

Difahamkan, karya seni tersebut diperoleh menerusi Sotheby’s, antara broker seni halus, barang kemas dan koleksi mewah terbesar dunia.

Menerusi hantaran Instagram pada Rabu, Chou berkongsi rasa kagumnya terhadap Matisse sambil mengimbau kenangannya ketika berada di Nice, Perancis.

Menurutnya, dia sering berdiri di luar rumah pelukis terkenal itu dan memandang ke arah balkoni berhampiran tingkap sambil membayangkan Matisse berada di situ mencari inspirasi sebelum kembali berkarya di studionya.

“Saya membayangkan dia berdiri di sana juga suatu hari nanti, merenung cahaya matahari di Nice, termenung, sebelum berjalan kembali ke studionya untuk terus berkarya,” tulisnya.

Ikon muzik Asia itu turut mengakui dia pernah menyimpan impian untuk memiliki salah satu karya Matisse.

“Tidak pernah terfikir bahawa hari ini, impian itu akan menjadi kenyataan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Chou sememangnya dikenali sebagai pengumpul seni tegar dengan koleksi karya daripada artis terkenal dunia seperti Pablo Picasso dan Jean-Michel Basquiat.

Malah, dalam satu temu bual bersama CNN sebelum ini, Chou yang memiliki aset kekayaan mencecah AS$95 juta itu mendedahkan sebahagian besar pendapatan konsertnya digunakan untuk membeli karya seni. – VOOLORA 23/5/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *