Friday, June 5

Single terbaharu Ariana Grande raih No.1 carta iTunes 50 negara

Oleh BIANCA HILMAN

SINGLE terbaharu Ariana Grande, Hate That I Made You Love Me mencipta fenomena apabila berjaya mencapai kedudukan #1 iTunes di lebih 50 buah negara termasuk Malaysia, sekali gus menjadi lagu ke-13 dalam kariernya yang mencapai pencapaian tersebut. 

Lagu ciptaan sendiri Ariana itu turut menduduki tangga teratas carta iTunes Worldwide, iTunes Eropah dan iTunes Amerika Syarikat sejurus selepas pelancarannya.

Kejayaan itu turut diterjemahkan di platform penstriman apabila lagu berkenaan membuat debut di #1 Carta Spotify Global Harian dengan lebih 8.78 juta strim pada hari pertama ia dilancarkan, menjadikannya antara pembukaan terbesar dalam karier penyanyi itu.

Ariana dan Justin Long sukses menghidupkan jalan cerita video muzik Hate That I Made You Love Me dengan penuh efektif.

Muzik video rasmi Hate That I Made You Love Me yang dilancarkan pada 1 Jun pula turut mendapat perhatian besar. 

Video berkonsepkan psikologi dan seram itu menampilkan pelakon Hollywood Justin Long sebagai watak utama. 

Diarahkan oleh Christian Breslauer, video tersebut memaparkan kisah seorang lelaki yang dihantui oleh Ariana selepas cuba ‘menanam’ kenangan hubungan mereka, sebelum plot berakhir dengan kejutan plot yang dramatik.

Kemunculan semula Ariana dalam dunia muzik ini cukup bermakna kerana sebelum ini beliau pernah memaklumkan bahawa akan memperlahankan aktiviti muzik buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada kerjaya lakonan. 

Lakonan lebih memukau Ariana Grande dalam filem, Wicked: For Good (FOTO: Medsos).

Dalam tempoh tersebut, beliau terlibat dalam dua filem besar iaitu siri Wicked dan Focker-in-Law, selain menyertai musim ke-13 siri antologi seram popular American Horror Story.

Hate That I Made You Love Me merupakan single utama daripada album studio kelapan Ariana, petal, yang dijadualkan berada di pasaran pada 31 Julai 2026 menerusi BabyDoll Music dan Republic Records. 

Album tersebut menandakan era baharu buat Ariana selepas kejayaan Eternal Sunshine dan digambarkan olehnya sebagai karya yang melambangkan ketahanan, pertumbuhan serta permulaan baharu.

Dengan prestasi jualan, penstriman dan sambutan peminat yang luar biasa, era Petal kini dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi satu lagi bab kejayaan besar dalam karier Ariana Grande. – VOOLORA 3/6/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *