Saturday, June 13

Lelaki fitnah Tok Batin sorok Jaslinda diberkas polis

Oleh BIANCA HILMAN 

IPOH: Lelaki yang tular di media sosial kerana didakwa memfitnah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd. Asmadi Abdullah berhubung kes penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, telah diberkas polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim dilaporkan media sebagai berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di kediamannya di Ipoh pada jam 1 tengah hari.

“Setakat ini, kita telah menerima 11 laporan polis berhubung kandungan berunsur fitnah terhadap tok batin yang dimuat naik di media sosial.

“Permohonan reman terhadap lelaki itu akan dibuat di mahkamah esok, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut,”  katanya,, di sini hari ini.

Menurut beliau, kertas siasatan bagi kes tersebut dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, tular di media sosial TikTok dakwaan seorang lelaki kononnya Mohd. Asmadi Abdullah, 63, ‘menyimpan’ Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum dia ditemukan penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Dakwaan tersebut menyebabkan kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis pada Selasa lalu bagi membantah fitnah yang tular terhadap Mohd. Asmadi.

Jaslinda yang hilang sejak 23 Mei lepas ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Capman di Gunung Batu Putih kemudian ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli pada 6 Jun lalu.

Ketika ditemui, Jaslinda yang merupakan pendaki berpengalaman itu dilihat berjalan seorang diri dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu sebelum dibawa ke rumah Mohd. Asmadi untuk diberi bantuan awal. – VOOLORA 12/6/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *