Saturday, May 23

Taylor Swift rampas 12 tempat teratas Billboard Hot 100

Oleh BIANCA HILMAN 

TAYLOR Swift menyerbu dan merampas 12 tempat teratas dalam Billboard Hot 100 – kesemuanya menerusi album baharunya, The Life of a Showgirl

Pada carta bertarikh untuk minggu bermula 18 Oktober 2025 itu, lagu The Fate of Ophelia dari album tersebut mendahului pada No.1 disusuli 11 lagu lain mengisi kedudukan No.2 hingga 12. 

Ia menyebabkan kesemua lagu penyanyi-penyanyi yang berada dalam senarai Top 10 pada minggu sebelumnya terkeluar, termasuk juara bertahan tiga minggu, lagu popular Huntrix, Golden yang tersingkir ke tempat ke-13.

Swift juga merupakan satu-satunya artis yang pernah memegang keseluruhan 10 teratas Hot 100 dan kini mencapai kejayaan itu untuk kali ketiga.

Figura ini mula-mula mengisi 10 teratas Billboard Hot 100 – terima kasih kepada album Midnights pada November 2022; sebelum mengatasi rekpd dirinya sendiri melalui album The Tortured Poets Department pada Mei 2024 –  yang menyaksikan dia menyerbu dan merampas kedudukan 14 teratas carta itu.

Juga ketara, lagu The Fate of Ophelia meledak dengan 92.5 juta strim rasmi Amerika Syarikat, menurut penjejak data Luminate – paling banyak untuk tajuk dalam seminggu sejak penstriman rasmi menjadi penyumbang tunggal metrik kepada senari Billboard Hot 100 bermula pada September 2020.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, The Life of a Showgirl yang dikeluarkan secara rasmi di pasaran pada 3 Oktober 2025 telah merampas No. 1 di carta Billboard 200 -untuk album terlaris daripada album soundtrack K-Pop Demon Hunters Fight yang menampilkan trio Huntrix.

Berikut ialah paparan lagu Swift dalam 12 teratas pada Billboard Hot 100 bertarikh 18 Oktober 2025 dengan Golden di kedudukan ke-13:

No. 1 The Fate of Ophelia
No. 2 Opalite
No. 3 Elizabeth Taylor
No. 4 Father Figure
No. 5 Wood
No. 6 Wi$h Li$t
No. 7 Actually Romantic
No. 8 The Life of a Showgirl, feat. Sabrina Carpenter
No. 9 Eldest Daughter
No. 10 Cancelled!
No. 11 Ruin the Friendship
No. 12 Honey

No. 13 Golden

Album The Life of a Showgirl secara rasminya telah terjual 4.002 juta unit – yang merangkumi jualan album dan aktiviti penstriman pada minggu pertamanya di Amerika Syarikat.

Iau merupakan minggu pertama terbesar dalam sejarah muzik moden; sekurang-kurangnya, menurut Luminate, data industri dan syarikat analitik yang mula menjejaki jualan pada tahun 1991.

Swift memecahkan rekod yang dibuat oleh album Adele, 25 yang terjual 3.378 juta unit pada minggu pertama 2015 di AS.

Figura ini juga menjadi artis solo dengan album No. 1 terbanyak di Billboard 200, dengan sebanyak 15. Swift sebelum ini seri dengan penyanyi Drake dan Jay-Z, yang masing-masing mempunyai 14 album.

Swift kini hanya berada No.2 di belakang The Beatles, yang mempunyai 19 album No. 1.