Saturday, May 23

Lisa Blackpink bintangi filem aksi

Oleh BIANCA HILMAN

SIAP sedia peminat K-pop dan penggemar filem aksi! Lisa, anggota kumpulan sensasi Blackpink, kini sah menyertai barisan pelakon untuk filem aksi terbaru Netflix, Extraction: Taigo.

Lebih menarik, Lisa akan bergandingan dengan dua pelakon hebat Korea Selatan — Ma Dong-seok (Train To Busan) dan Lee Jin-wook (Sweet Home).

Filem ini merupakan spin-off daripada francais Hollywood popular Extraction lakonan Chris Hemsworth, dan kali ini, fokus diberikan kepada watak baharu dalam dunia tentera upahan yang penuh aksi mendebarkan.

Lisa (kanan) dalam satu adegan debut lakonannya yang ditayangkan di HBO, siri The White Lotus 3 (FOTO: NME)

Lisa kukuhkan kedudukan di Hollywood

Penampilan Lisa dalam Extraction: Taigo menandakan projek lakonan keduanya selepas kemunculan sulung dalam siri HBO terkenal, The White Lotus musim 3.

Walaupun hanya memegang watak sampingan dalam siri itu, lakonannya tetap mencuri perhatian dan berjaya mencetuskan buzz di kalangan peminat dan pengkritik.

Pada September 2025, Lisa secara rasmi memulakan langkah besar ke Hollywood dengan menandatangani kontrak eksklusif bersama agensi terkemuka Amerika Syarikat, WME — bukti jelas bahawa bintang antarabangsa ini sedang serius membina karier lakonannya.

Apa yang menarik tentang Extraction: Taigo?

Filem ini mengisahkan watak Taigo (lakonan Ma Dong-seok), seorang tentera upahan yang memulakan misi berbahaya demi menyelamatkan rakan seperjuangan yang diculik. Lisa dijangka memainkan watak penting dalam dunia penuh konflik ini, manakala Lee Jin-wook akan tampil dalam watak yang menjanjikan pertembungan sengit bersama Ma Dong-seok.

Diarahkan oleh Lee Sang-yong, yang terkenal dengan filem aksi The Outlaws 2 dan The Outlaws 3, Extraction: Taigo dijangka mengekalkan DNA aksi lasak dan visual yang memukau seperti siri asalnya.

Dari Lisa dari pentas global ke skrin perak

Selain sibuk bersama BLACKPINK yang terus mendominasi carta global, Lisa juga aktif sebagai artis solo dan usahawan. Tahun lalu, dia menubuhkan label pengurusannya sendiri, LALALAND sebagai langkah untuk bergerak lebih bebas dalam industri muzik dan hiburan.

Dengan Extraction: Taigo, Lisa bukan sahaja membuktikan versatilitinya sebagai penghibur, malah mengukuhkan dirinya sebagai figura global yang merentasi sempadan industri.


Extraction: Taigo bakal menemui penonton eksklusif di Netflix — tarikh tayangan masih dirahsiakan, tapi satu yang pasti, kemunculan Lisa pasti menjadi tumpuan utama!

1 Comment

Comments are closed.