
Oleh BIANCA HILMAN
✦ “Seni bukan hanya tentang keindahan — ia tentang kebenaran.”
– Rama Duwaji
Selepas bertahun-tahun, Gracie Mansion – kediaman rasmi Datuk Bandar New York akhirnya bakal mempunyai seorang First Lady baharu – tetapi yang pertama dari golongan Generasi Z (Gen Z)!
Diperkenalkan pemilik nama Rama Duwaji, seorang pelukis dan ilustrator berusia 28 tahun yang kini mencipta sejarah sebagai wanita pertama Generasi Z (Gen Z) yang bergelar ‘Wanita Pertama’ New York City.

Beliau ialah isteri kepada Zohran Mamdani, Datuk Bandar baharu New York yang baru sahaja hari ini dipilih majoriti pengundi – menewaskan bekas Gabenor Andrew Cuomo calon Republikan, Curtis Sliwa dalam pilihan raya yang mencatat sejarah tersendiri.
Namun, di sebalik kejayaan politik suaminya, ada kisah menarik tentang wanita muda berjiwa seni dan aktivis sosial ini — yang memilih untuk menyokong dari balik tabir.
Dari Damsyik ke Brooklyn: Jejak seorang seniman muda
Dilahirkan di Houston, Texas, daripada etnik Syria, Rama Duwaji membesar dalam keluarga yang berpindah-randah antara Timur Tengah dan Amerika. Meskipun kini menetap di Brooklyn, New York, identiti Arab yang kuat tetap mewarnai setiap hela karya seninya

Rama berpendidikan tinggi dalam bidang seni visual: beliau memiliki Sarjana Muda Seni Halus dalam Komunikasi Reka Bentuk dari Virginia Commonwealth University dan Sarjana Seni Halus dalam Ilustrasi dari School of Visual Arts di New York.
Karya beliau pernah dipaparkan oleh pelbagai media dan institusi terkenal termasuk The New Yorker, The Washington Post, BBC, Apple, Spotify, VICE, dan Tate Modern London — pencapaian luar biasa bagi seorang seniman muda yang baru menapak di New York beberapa tahun lalu.
Seni, identiti dan penentangan
Bagi Rama, seni adalah bentuk ekspresi yang membawa suara dan semangat zaman. “Tugas seorang artis adalah untuk mencerminkan zaman,” katanya dalam satu wawancara, memetik kata-kata legenda Nina Simone.

Karya-karyanya sering mengangkat tema persaudaraan, identiti Arab, pengalaman komuniti wanita Timur Tengah, serta isu politik dan kemanusiaan, khususnya penderitaan rakyat Palestin.
Di laman Instagramnya, yang diikuti hampir 235,000 pengikut, Rama mempamerkan ilustrasi yang kuat dan simbolik, termasuk karya pro-termasuk gambaran keganasan Israel, pembersihan etnik, dan penglibatan AS – yang mengkritik kekerasan dan ketidakadilan di rantau tersebut.
Selain ilustrasi, beliau juga menghasilkan seramik tangan berwarna biru dan putih yang sering dihiasi imej dan naratif dari dunia Arab.

Legenda politik cinta digital
Kisah cinta Rama dan Mamdani bermula di tempat yang tidak dijangka – aplikasi temu janji Hinge.
Pertemuan ringkas itu berkembang menjadi hubungan yang mendalam antara dua individu idealis: seorang seniman (pelukis) dan seorang ahli politik muda yang sama-sama percaya pada perubahan sosial.
Pasangan ini mengadakan majlis pertunangan tertutup dan menikah di Dubai pada Disember 2024, diikuti perkahwinan rasmi di Pejabat Kerani Bandar Raya New York awal tahun 2025

Wanita di sebalik kemenangan Zohran Mamdani
Walaupun memilih untuk tidak menjadi tumpuan media, ramai pemerhati politik memuji peranan Rama dalam membina identiti jenama kempen Zohran Mamdani.
Beliau dikatakan membantu membentuk strategi visual kempen, termasuk reka bentuk ikonografi, warna kuning, oren dan biru yang berani, serta gaya tipografi yang kini sinonim dengan kempen progresif suaminya.
Selain itu, Rama turut dikreditkan kerana meningkatkan kehadiran digital dan media sosial Mamdani, menjadikannya salah seorang calon muda paling berpengaruh di arena politik New York.
Namun, di sebalik semua itu, Rama kekal sederhana – jarang muncul di televisyen atau bersetuju untuk ditemu bual majalah. Malah, halaman Instagramnya jarang menunjukkan kehidupan peribadinya bersama Mamdani, kecuali satu hantaran dari hari pilihan raya utama Demokrat pada bulan Jun lalu.

Sejarah kebangkitan suara Gen Z
Dengan kemenangan Mamdani, Rama Duwaji kini bersedia untuk melangkah ke Gracie Mansion bukan sekadar sebagai isteri seorang Datuk Bandar, tetapi sebagai simbol generasi baharu — wanita muda, imigran, dan seniman yang mewakili kepelbagaian suara New York City.
Beliau membawa sentuhan lembut tetapi tegas, suara seni yang berpaksikan keadilan sosial, dan pandangan global yang mencerminkan wajah kota yang sentiasa berubah.
Dalam banyak hal, kehadiran Rama menandakan sesuatu yang lebih besar daripada gelaran ‘First Lady’. Ia menandakan kebangkitan suara Gen Z dalam dunia yang dahagakan empati, kreativiti, kejujuran dan kebenaraan.
