Friday, June 19

Zohran Mamdani Datuk Bandar Muslim pertama New York City

Oleh BIANCA HILMAN

SAAT empati menjadi kuasa! New York City baru sahaja menulis sejarah baharu – bukan sekadar dalam politik, tetapi juga dalam harapan dan keberanian untuk berubah.

Nama yang kini menjadi bualan seluruh dunia ialah Zohran Mamdani, anak kelahiran Kampala, Uganda, berusia 34 tahun yang baru sahaja pada hari ini, dipilih sebagai Datuk Bandar Muslim pertama dan pemimpin demokratik sosialis pertama dalam sejarah bandar raya terbesar Amerika Syarikat itu.

Dalam pilihan raya yang mencatatkan penyertaan pengundi paling tinggi dalam beberapa dekad, Zohran menewaskan dua nama besar: bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo dan calon Republikan, Curtis Sliwa.

Dibesarkan di Queens, New York, perjalanan hidupnya mencerminkan wajah sebenar kota ini – penuh kepelbagaian, cabaran, dan impian. 

Sebelum ini, beliau hanyalah seorang wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri New York, tetapi visinya yang jelas – untuk menjadikan New York tempat yang lebih adil dan mampu dihuni; kini membawanya ke pentas tertinggi pentadbiran bandar.

Dalam pilihan raya yang sengit, Zohran menewaskan tokoh-tokoh berpengaruh seperti bekas Gabenor Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa. Sokongan terbesar datang daripada golongan muda dan kelas pekerja — mereka yang penat dengan janji kosong dan ingin melihat perubahan nyata.

Zohran di samping isterinya, Rama Duwaji yang merupakan seorang pelukis (FOTO: Medsos).

Kempen beliau berteraskan nilai-nilai kemanusiaan yang mudah difahami tetapi jarang diperjuangkan secara jujur:
🌿 Kos sara hidup yang adil,
🌿 Perumahan mampu milik,
🌿 Penjagaan kanak-kanak universal, dan
🌿 Keadilan sosial untuk semua.

Walaupun diserang hebat dan dilabel ‘komunis’ oleh Presiden Donald Trump, Zohran kekal tenang, menunjukkan bahawa empati dan integriti masih boleh menang dalam dunia politik yang sering keras dan sinis.

Aura dan sikap Zohran yang berjiwa rakyat berjaya memikat pengundi di New York City untuk menjulangnya sebagai Datuk Bandar baharu bandar raya itu (FOTO: Medsos).

Kini, dengan pelantikannya yang bakal bermula tahun depan, New York bersiap menyambut satu era baharu – era yang mungkin lebih perlahan, lebih manusiawi, dan lebih mendengar suara rakyatnya.

Kemenangan Zohran bukan sekadar tentang seorang individu yang naik ke tampuk kuasa. Ia adalah kisah tentang keberanian menentang arus, tentang harapan yang tumbuh di tengah kebisingan, dan tentang kepercayaan bahawa kebaikan masih boleh menjadi dasar sebuah pentadbiran besar.

Mungkin, inilah tanda bahawa dunia sedang belajar semula – bahawa untuk memimpin, kita tidak perlu berteriak paling kuat. Kadangkala, cukup dengan mendengar paling dalam.