
Oleh BIANCA HILMAN
FILEM Predator: Badlands memuncaki tangga box-office dengan kutipan minggu pembukaan global mencecah AS$80 juta, termasuk AS$40 juta dari tayangan sulung di Amerika Utara – prestasi yang melebihi jangkaan dan menandakan kebangkitan box-office dalam tempoh musim luruh yang lesu.
Kutipan tiket minggu pembukaan filem ini bukan sahaja tertinggi bagi francais Predator, malah mengatasi rekod Alien vs. Predator (2004) yang mencatat AS$38.3 juta.
Dengan bajet AS$105 juta, Badlands kini menjadi filem Predator paling mahal, tetapi juga paling berjaya dari segi sambutan awal.
Filem kelapan dalam francais ini, diarahkan dan ditulis oleh Dan Trachtenberg, membawa kelainan segar: di sebuah planet terpencil, seorang pemangsa (Predator) muda (lakonan Dimitrius Schuster-Koloamatangi) terserempak dengan android penyelidik (Elle Fanning), dan mereka terpaksa bekerjasama dalam memulakan sebuah perjalanan dalam keadaan yang cukup tegang dari segi emosi dan fizikal.
Penampilan Fanning menerima pujian khusus, menambah lapisan emosi dan dimensi kepada francais yang biasanya didominasi aksi, memperkukuh reputasinya sebagai pelakon serba boleh di Hollywood.
Ulasan kritikal turut menyokong, dengan 85% terkini di Rotten Tomatoes, manakala penonton memberikan CinemaScore A-, satu gred terbaik dalam sejarah francais ini.
Berbanding filem besar lain seperti Tron: Ares yang mula ditayangkan beberapa minggiu lalu (AS$180 juta bajet, AS$137 juta kutipan global), Badlands menonjol kerana mendapat respons mulut ke mulut yang efektif, menunjukkan prospek francais ini semakin cerah.
Walaupun belum menjadi blockbuster besar, Predator: Badlands mencatat rekod baharu untuk francais, menawarkan permulaan yang optimis untuk box office 2025.
