Saturday, May 30

🌸 Tiada istilah terlambat: Kisah kejayaan Yana Samsudin

Oleh BIANCA HILMAN

TAK ada istilah terlambat kalau kita betul-betul nak ubah hidup.”

Itu sebaris kata-kata ‘emas’ pelakon dan pengarah terkenal, Yana Samsudin, yang wajar dijadikan inspirasi buat semua wanita agar kekal tabah, gigih berusaha dan tidak pernah mengenal erti putus asa demi mencapai kejayaan.

Baru-baru ini, Yana berkongsi kisah kejayaannya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Korporat di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui laman Facebook rasmi universiti berkenaan.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini menerima ijazahnya daripada Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20, yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Pekan, Pahang.

Yana di samping Prof Yatimah pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20, yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Pekan, Pahang (FOTO: Facebook/UMPSA).

Pada hari bersejarah itu, Yana ditemani ibunya dan suami tercinta, Fadhil Zahari, yang menjadi penyokong kuat sepanjang perjalanan akademiknya.

Wanita berusia 39 tahun ini tidak lokek menitipkan semangat agar wanita di luar sana terus menuntut ilmu tanpa mengira usia.

“Kalau rasa betul nak belajar, kalau rasa dah terlewat, SPM tak okey ke apa, buat (usaha) balik,” katanya penuh makna.

Lebih manis, pemilik nama sebenar Norliana Samsudin ini tetap hadir ke majlis konvokesyen walaupun masih dalam tempoh berpantang anak ketiga.

“Sebenarnya betul, saya masuk pantang 30 hari ini tapi semangat untuk datang konvo memang kuat. Ikutkan due date saya bersalin memang sama dengan hari konvokesyen berkenaan.
“Sebab saya lahirkan anak awal lapan bulan enam hari, alhamdulillah saya dapat datang hari ini. Ini semua rezeki daripada Allah,” kongsi Yana penuh syukur.

Yana dan suami bersama-sama Prof Yatimah (FOTO: Facebook/UMPSA).

Pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi filem Adnan Sempit itu mengakui proses perjalanan dua tahun setengah menamatkan pengajian bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila melalui dua kehamilan sepanjang tempoh tersebut.

“Nak habiskan master (ijazah sarjana) ini, saya dah lahirkan dua anak. Memang susah, tak cukup tidur tapi bila fikir anak-anak, saya nak mereka nampak usaha mommy dia,” katanya.

Menurut Yana, dorongan suami, keluarga dan anak-anak menjadi kunci kekuatan utama dirinya.

Tekadnya untuk menggenggam ijazah bukan sekadar impian peribadi, tetapi sebagai contoh buat anak-anak agar mereka menghargai ilmu.

“Saya nak anak-anak tengok walaupun umur dah meningkat, dah ada keluarga, kita masih boleh belajar. Itu yang jadi penguat semangat saya,” ujar pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 menerusi filem Bini-Biniku Gangster.

Dalam pada itu, Yana turut berkongsi cabaran membahagikan masa antara kerjaya seni, perniagaan dan pelajaran.

Yana di samping suami tersayang, Fadhil Zahari (FOTO: Medsos).

“Walaupun kita berniaga, bekerja siang malam, nak habiskan pengajian memang susah. Jadi, siapa yang berjaya habiskan belajar walau dalam keadaan sibuk, saya sangat respect,” tambahnya.

Yana juga meluahkan penghargaan buat suami dan ibunya yang banyak membantu menjaga anak serta memberi sokongan tanpa henti, selain berterima kasih kepada semua pensyarah UMPSA yang sentiasa membimbing dan memberi semangat.

“Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada semua pensyarah di UMPSA, semuanya sangat membantu dan memberi semangat,” ujarnya penuh penghargaan.

Menutup bicara, Yana berharap kisahnya menjadi suntikan inspirasi buat mereka yang pernah menganggap sudah terlambat untuk menyambung pelajaran.

“Belajar dulu, kerja dulu pun tak apa. Banyak peluang di luar sana. Jangan takut nak mula semula walaupun lambat. Yang penting, ada semangat dan orang sekeliling yang menyokong,” katanya.


Intipati inspirasi Voolora

Umur hanyalah angka, masa bukan halangan. Semangat dan sokongan sekelilinglah yang menjadikan setiap impian itu mungkin,  seperti yang dibuktikan oleh Yana Samsudin. 💖