
Oleh BIANCA HILMAN
INDUSTRI muzik sekali lagi digoncang oleh kehadiran artis bukan manusia. Lagu terbaharu Breaking Rust — ya, artis yang sepenuhnya dijana teknologi kecerdasan pintar (AI) — kini mendominasi carta, membuktikan bahawa muzik era digital bergerak jauh lebih pantas daripada perdebatan mengenainya.
Tewaskan penyanyi manusia
Trek Walk My Walk melonjak ke No. 1 Carta Country Digital Song Sales Billboard sejak 8 November 2025, menewaskan penyanyi country sebenar yang bertahun-tahun membina kerjaya mereka, termasuk Ella Langley yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Dengan vokal serak ala Chris Stapleton dan lirik generik mengenai “ditentang tapi tak mengalah”, lagu ini sebenarnya dihasilkan oleh komputer — dan ramai pendengar mungkin tidak menyedarinya.

Bukan sekadar di Billboard, lagu itu juga kini:
- berada di Top 10 carta semua genre di iTunes, dan
- membantu EP Resilient milik Breaking Rust memasuki Top 10 album platform tersebut.
Di Spotify pula, Breaking Rust mengumpul lebih 2.3 juta pendengar bulanan, manakala Walk My Walk sudah mencecah 3.6 juta penstriman.
Siapa di sebalik Breaking Rust?
Nama yang dikreditkan sebagai komposer, Aubierre Rivaldo Taylor, hampir tidak mempunyai jejak digital.
Namun, Taylor turut dikaitkan dengan projek AI lain bernama Defbeatsai, yang menghasilkan lagu-lagu country satira dan lucah — juga secara automatik.
Menariknya, walaupun Spotify sebelum ini mengumumkan tindakan lebih tegas terhadap muzik AI dan mendakwa telah membuang lebih 75 juta trek spam, Breaking Rust dan Defbeatsai kini ditanda sebagai ‘artis disahkan’ di platform tersebut.

Xania Monet, penyanyi AI pertama tembusi carta Billboard
Fenomena artis AI bukan hanya milik Breaking Rust. Xania Monet, satu lagi figura muzik ciptaan algoritma, baru-baru ini menjadi penyanyi AI pertama yang masuk carta siaran radio Billboard.
Sejak kemunculan Monet pada musim panas tahun ini, penyanyi AI ini sudah beberapa kali berjaya masyj carta Billborad termasuk kategori Hot Gospel menerusi lagu LetGo, Let God’ dan Hot R&B Songs melalui single, How Was I Supposed to Know.
Penciptanya, Telisha Nikki Jones, menggunakan aplikasi AI Suno untuk menghasilkan vokal dan produksi lagu, termasuk hit How Was I Supposed to Know? Arahan AI nya mudah: “suara wanita,” “vokal merdu,” “tempo perlahan,” “gaya R&B.”

Jones menganggap Xania sebagai ‘lanjutan dirinya’. Namun dalam temu bual bersama Gayle King, timbul persoalan etika — adakah wajar pencipta AI memintas perjalanan panjang artis sebenar yang bertahun-tahun berusaha keras membina nama dalam industri muzik?
Era baharu muzik, atau jalan pintas?
Jones mempertahankan dirinya, menegaskan AI ialah alat, bukan pencetus penipuan. Tetapi bagi ramai, kemunculan artis AI yang menguasai carta; walaupun tanpa tubuh, latihan vokal atau pentas, kini telah mencetuskan persoalan tentang masa depan muzik, keaslian, dan peluang untuk pemuzik manusia.
Satu perkara pasti: sama ada dipuji atau dipertikai, artis AI seperti Breaking Rust dan Xania Monet kini menjadi kuasa baru yang tidak boleh diabaikan dalam landskap hiburan global.
