Saturday, May 30

Lelaki serbu, peluk bahu Ariana Grande di Singapura, dihadapkan ke mahkamah

Oleh BIANCA HILMAN

TAYANGAN perdana filem The Wicked: For Good di Singapura pada awal malam ini, Khamis (13 November, 2025) yang sepatutnya menjadi momen glamor, bertukar kecoh seketika apabila seorang lelaki tiba-tiba melompat melepasi penghadang dan berlari ke arah bintang pop dan pelakon Amerika tersohor, Ariana Grande.

Insiden itu berlaku ketika acara permaidani kuning di Universal Studios Singapore (USS) sedang berlangsung. 

Beberapa video yang tersebar di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan berlari ke arah Grande, memeluk bahunya dengan kasar dan melompat-lompat dengan teruja sebelum ditahan oleh pasukan keselamatan.

Rakan pelakon filem itu yang turut hadir –  Cynthia Erivo, Jeff Goldblum, Tan Sri Michelle Yeoh serta pengarah Jon M. Chu  dilihat terkejut dengan kejadian itu, namun Erivo pantas bertindak dengan menepis lelaki berkenaan bagi melindungi Grande.

Ariana Grande, Michelle Yeoh dan Cynthia Erivo pada acara permaidani kuning di Universal Studios Singapore (FOTO: Medsos).

💫Siapa ‘Pyjama Man’?

Individu yang mencetuskan kekecohan itu dikenal pasti sebagai Pyjama Man, seorang pencipta kandungan dari Australia.

Dia bukan orang asing dalam dunia kontroversi — sebelum ini, dia pernah bergegas ke arah artis terkenal seperti Katy Perry dan The Weeknd, serta menceroboh padang semasa perlawanan akhir Piala Dunia Kriket Lelaki ICC 2023 di Stadium Narendra Modi, Ahmedabad, India.

Selepas kejadian di Singapura, Pyjama Man memuat naik videonya sendiri di media sosial yang menunjukkan detik dia mendekati Ariana Grande dan Cynthia Erivo menepisnya. Dalam kapsyen videonya, dia menulis:

Ariana Grande yang dikasihi, terima kasih kerana membenarkan saya melompat ke atas Karpet Kuning bersama anda.”

🌟Peminat kecam tindakan ‘gila’

Tindakannya menerima kecaman meluas daripada peminat di media sosial, yang menganggap perbuatan itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Bayangkan betapa menakutkannya apabila seorang lelaki yang anda tidak kenali berlari sekuat tenaga ke arah anda tanpa anda tahu apa niatnya,” tulis seorang pengguna di TikTok.

💫Pyjama Man dihadap ke mahkamah

Sehubungan itu Pyjama Man atau nama sebenarnya, Johnson Wen dilaporkan telah didakwa di mahkamah atas dakwaan gangguan awam di Singapura.

Jika didapati bersalah, Wen menghadapi denda sehingga S$2000 (AS$1,540). Media tempatan melaporkan bahawa Wen berhasrat untuk mengaku bersalah.

🌟“Ini bukan cara tunjuk sokongan”

Insiden ini membuka semula perbincangan tentang keselamatan selebriti, terutama wanita, di acara awam.

Bagi ramai pemerhati, kejadian ini menjadi peringatan penting – kekaguman tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar sempadan peribadi/ Sokongan sebenar datang dengan rasa hormat, bukan pencerobohan secara membab-buta seperti dilakukan lelaki itu.

💖 Peminat terpukau kehadiran barisan bintang Wicked

Terdahulu, ratusan peminat mula membanjiri ruang Weave di RWS seawal jam 9 pagi. Ramai tampil bergaya dalam warna merah jambu dan hijau, warna ikonik dunia Wicked.

Sebelum ketibaan para bintang, suasana sudah pun gamat apabila peminat berkaraoke spontan menyanyikan lagu-lagu daripada filem pertama Wicked (2024).

Tepat jam 5.30 petang, kemunculan Ariana, Cynthia, Michelle, Goldblum, dan  M. Chu mencetuskan sorakan luar biasa.

Ariana tampil menawan dalam gaun merah jambu pastel berkilauan, sambil mengucapkan terima kasih kepada peminat Asia:

“Kami sangat menyayangi anda dan sangat teruja untuk anda menonton filem ini. Terima kasih kerana menjadikan filem ini begitu istimewa,” katanya dengan senyuman.


🎬Michelle Yeoh imbau kenangan Crazy Rich Asians

Pelakon legenda Malaysia, Michelle Yeoh, turut mencuri perhatian apabila berkongsi rasa nostalgia kembali ke Singapura — lokasi penggambaran Crazy Rich Asians pada tahun 2018.

“Kami sangat gembira dengan kasih sayang di Singapura. Kami berada di sini untuk Crazy Rich Asians, dan kini Wicked!,” katanya penuh semangat.


🌍 Singapura, satu-satunya hentian Asia

Singapura merupakan satu-satunya destinasi Asia dalam jelajah promosi global Wicked: For Good, selepas Sao Paulo, Paris dan London. Jelajah ini akan berakhir di New York City pada 17 November 2025.

Walaupun berlaku sedikit insiden spontan, tayangan perdana ini tetap mencipta malam yang sukar dilupakan — penuh sorakan, momen penuh bermakna dan warna-warni dunia Wicked!

Grande sebelum ini mengakui dia bergelut dengan ‘trauma’ PTSD yang dialaminya impak pengeboman konsertnya di Manchester pada tahun 2017, yang menyebabkan 22 orang terkorban.