Tuesday, July 21

Andalusia-YIF meterai Ikrar Bebas Rasuah, SPRM saksi langkah bersejarah

Oleh BIANCA HILMAN

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai peneraju industri umrah, haji dan pelancongan berprestij negara, apabila bersama Yayasan Imanulfa’izin (YIF) memeterai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) serta melancarkan Polisi Integriti, dengan bimbingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Langkah strategik ini bukan sahaja memperkukuh budaya integriti, malah mengangkat Andalusia sebagai organisasi yang serius memastikan setiap urusan melibatkan jemaah dijalankan dengan penuh amanah, telus dan bebas salah guna kuasa.

Majlis penuh simbolik itu berlangsung di Auditorium Andalusia pada 18 November 2025, dihadiri lebih 200 peserta daripada kedua-dua organisasi, menjadi testimoni komitmen Andalusia dalam membina tadbir urus berkelas dunia.

Integriti: Teras kepercayaan lebih 1 juta jemaah Andalusia

Dalam ucapan aluan, Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Hajah Ida Riswana Idris, menegaskan bahawa industri haji dan umrah menuntut kepercayaan tahap tertinggi daripada pelanggan.

“Andalusia telah beroperasi lebih 20 tahun, dan alhamdulillah kepercayaan lebih 1 juta jemaah terbina kerana kami menjaga amanah. 

“Dalam dunia umrah dan haji, sekecil-kecil ketirisan atau manipulasi boleh merosakkan ibadat seseorang. 

“Integriti bukan pilihan, ia adalah tanggungjawab syarie dan profesional,” katanya.

Kerjasama dengan YIF dan komitmen bersama SPRM, ujar beliau, menjadi pemangkin kepada usaha Andalusia memastikan operasi syarikat sentiasa profesional, bebas rasuah dan mematuhi undang-undang.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Haji Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Tuan Haji Ibrahim Mat Sin

YIF lancar empat polisi integriti utama

Bagi YIF, pemeteraian IBR dan pelancaran Polisi Integriti merupakan langkah penting dalam mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap program kebajikan yang dijalankan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIF, Haji Fawwaz Abdul Hamid Dahlan, mengumumkan pelancaran empat dokumen integriti utama:

  • Polisi Antirasuah
  • Polisi Hadiah, Hospitaliti dan Keraian
  • Polisi Konflik Kepentingan
  • Polisi Whistleblowing
    Menurutnya, polisi-polisi ini menjadi tunjang kepada kawal selia dalaman agar bebas daripada unsur salah guna kuasa dan konflik kepentingan.

Andalusia wajar jadi contoh – SPRM

Sementara majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, KPKPj Samsul Salip, yang memuji usaha proaktif pengurusan tertinggi Andalusia.

Beliau menegaskan bahawa program sebegini perlu dicontohi syarikat lain kerana ia memberi kesedaran mendalam kepada pekerja tentang etika integriti dan bahaya penyalahgunaan kuasa.

Para hadirin turut mengikuti ceramah khas antirasuah oleh Ps Rezuan Sharif, yang mengingatkan bahawa isu rasuah memberi kesan langsung kepada pembangunan negara serta kepercayaan masyarakat terhadap organisasi.

Pemeteraian IBR: Komitmen Andalusia & YIF

Acara kemuncak majlis menyaksikan kedua-dua organisasi melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang mana YIF dipimpin oleh Haji Fawwaz Abdul Hamid Dahlan, manakala Andalusia diwakili Hajah Ida Riswana Idris.
Sesi menandatangani IBR disaksikan sendiri oleh KPKPj Samsul Salip sebagai simbol komitmen rasmi untuk menolak rasuah dan memastikan semua proses kerja mematuhi undang-undang serta etika integriti syarie.

Langkah Andalusia mampu jadi penanda aras

Majlis ini jelas membuktikan bahawa kejayaan mencegah rasuah dan membina ekosistem integriti memerlukan kerjasama menyeluruh antara NGO, syarikat swasta dan agensi kerajaan.

Tindakan Andalusia dan YIF bukan sahaja meningkatkan keyakinan masyarakat, malah mencerminkan dedikasi mereka sebagai organisasi bertanggungjawab, sekali gus menjadi model terbaik untuk organisasi lain dalam memperkukuh budaya integriti demi kepentingan negara dan umat.