
Oleh BIANCA HILMAN
SIAPA sangka di sebalik glamor nama ‘Jackson’, anak-anak Michael Jackson masih bertarung untuk mendapatkan ketelusan dan keadilan?
Paris Jackson, 27, kini muncul sebagai suara paling lantang dalam keluarganya — dan dia jelas tidak lagi mahu berdiam diri.
Dalam pemfailan terbaru di Mahkamah Tinggi Los Angeles, Paris menegur dengan tegas cara harta pusaka ayahnya diuruskan oleh pelaksana John Branca dan John McClain.
Dan percayalah, apa yang didedahkan memang buat ramai ternganga.

Dokumen 2021..tapi baru terima pada 2024
Bayangkan: dokumen perakaunan tahun 2021, tetapi Paris dan adik-beradiknya , Prince dan Bigi hanya menerimanya pada September 2024. Hampir empat tahun lewat.
Kalau pengurusan duit sendiri pun kita tak sanggup tunggu sampai seminggu, apatah lagi harta pusaka bernilai ratusan juta.
AS$464 juta harta pusaka tak dilaburkan? “Serius?: – Paris
Ini bahagian yang paling mengejutkan — dan paling menaikkan darah Paris.
Pelaksana didakwa tidak melaburkan AS$464 juta harta pusaka dalam bentuk tunai, sehingga hanya menghasilkan 0.1% faedah.
Sebagai bayangan, Paris mendakwa jumlah itu sepatutnya boleh menjana hampir AS$41 juta jika diuruskan dengan strategi pelaburan biasa.
Kalau kita, duit simpanan terbiar tanpa faedah pun dah rasa rugi. Ini pula hampir setengah bilion.

Bayaran puluhan hingga ratusan juta kepada pelaksana & peguam
Paris turut mempersoalkan jumlah bayaran ‘luar biasa’ kepada mereka yang menguruskan harta itu:
- > $10 juta dibayar pada tahun 2021 kepada pelaksana dan firma guaman.
- Peguam harta pusaka Mihael dibayar AS$4.5 juta, tambah AS$750,000 bonus yang didakwa tidak diluluskan mahkamah.
- Dari 2009–2021, pelaksana didakwa menerima bayaran lebih AS$148 juta.
Tak peliklah Paris rasa keluarga sendiri terpinggir bila jumlah yang dibayar kepada pengurus lebih besar daripada apa yang diterima benefisiari.
Drama filem biopik Michael: Motif Miles Teller turut berlakon?
Ya, filem biopik mengenai Michael Jackson pun masuk dalam pertikaian ini.
Paris mempertikaikan keputusan pelaksana membiayai penuh filem itu, termasuk pelantikan John Branca sebagai Penerbit Eksekutif filem itu – walaupun beliau tiada pengalaman membuat filem dramatik.

Dan lebih hangat lagi: Branca memilih Miles Teller untuk melakonkan… dirinya (Branca) sendiri. Paris mempersoalkan keputusan itu yang mungkin mahal dan ‘aneh’, sambil meragui sama ada ia benar-benar mendatangkan pulangan box-office yang munasabah.
Lebih cuak, Branca pula dijangka mendapat 15% daripada pendapatan projek hiburan biopik Michael— sesuatu yang bagi Paris menimbulkan konflik kepentingan.
Rekod lewat. ‘Hadiah’ misteri dan teguran mahkamah
Paris juga membawa kembali isu lama:
- Pelaksana lewat hampir lima tahun mengemukakan borang pendedahan wajib.
- Bayaran ‘hadiah’ dan ‘ganjaran premium’ bernilai ratusan ribu kepada firma guaman.
- Kekurangan dokumentasi sepanjang tempoh lima tahun yang menjejaskan pengawasan mahkamah dan benefisiari.
Justeru, ia bukan sekadar soal duit tetapi ketelusan dan integriti!

Keputusan mahkamah terbaharu: Separuh menang, separuh kena bayar
Seorang hakim Los Angeles yang telah bersara, Mitchell L. Beckloff, telah dilantik untuk berkhidmat sebagai pengadil bagi pertikaian itu, dan beliau bagaimanapun memutuskan pada 10 November yang memihak kepada Branca dan McClain sebagai pelaksana untuk sebahagian tuntutan Paris di bawah statut anti-SLAPP California — undang-undang yang melindungi pemfailan rasmi daripada tindakan undang-undang balas.
Namun berita baiknya, isu-isu penting yang Paris tuntut:
- kawalan lebih telus
- persoalan tentang bayaran kepada peguam
…masih diteruskan oleh mahkamah.
Paris bagaimanapun perlu membayar yuran peguam hartanah untuk bahagian berkait anti-SLAPP.

Pihak pelaksana harta vs Paris: Dua naratif berbeza
Pihak pelaksana harta mengatakan pemfailan Paris hanyalah ‘percubaan salah’ selepas peguamnya kalah kes lalu.
Namun, jurucakap Paris pula menegaskan keputusan itu hanya menyentuh hal prosedur kecil — bukan isu utama yang membimbangkan keluarga.
Malah, mereka mengesahkan Paris akan kembali dengan pemfailan baharu tidak lama lagi.
Di sebalik semua ini, Paris cuba lindungi legasi bapanya
Di tengah segala drama dan perebutan kuasa, satu perkara jelas: Paris mahu memastikan legasi ayahnya dijaga dengan betul, telus dan adil.
Dia menuntut agar keluarga, dan bukannya pihak luar menjadi keutamaan dalam pengurusan harta pusaka salah satu ikon muzik terbesar dunia itu.
Dan nampaknya perjuangan ini baru sahaja bermula.
