
Oleh BIANCA HILMAN
MEMANG wujud lagi insan berhati mulia dalam dunia Ini. Sepasang pengantin baharu di Turkiye, Fethullah Üzümcüoğlu dan Esra Polat, memilih untuk memulakan hidup baharu mereka dengan cara yang sangat luar biasa.
Daripada berhabis duit untuk majlis resepsi mega, mereka buat keputusan yang lebih besar. Semua bajet majlis keraian itu mereka salurkan untuk menyediakan makanan kepada 4,000 pelarian Syria.
Pasangan ini baru-baru ini bernikah di bandar Kilis, yang terletak berhampiran sempadan Syria. Ramai pelarian yang lari daripada konflik di negara jiran berlindung di kawasan sekitar bandar itu.

Apa yang paling menyentuh hati, pada hari bahagia mereka, Fethullah dan Esra turun padang. Masih lengkap memakai tuksedo dan gaun pengantin, mereka sendiri sibuk menghidangkan makanan dari trak kepada pelarian Syria yang hadir.
Rupa-rupanya, idea hebat ini datang daripada bapa pengantin lelaki. Bapa beliau merupakan seorang sukarelawan aktif dengan sebuah badan amal tempatan, Kimse Yok Mu, yang membantu menguruskan jamuan besar itu.
Kisah mereka ini mendapat pujian ramai. Ia membuktikan bahawa cinta sejati dan kemurahan hati boleh dikongsi jauh lebih luas, bukan hanya di atas pelamin.
Semoga pasangan baharu ini dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan mereka.
