
Oleh BIANCA HILMAN
PERTANDINGAN Miss Universe di Nonthaburi, Thailand, berakhir dengan penuh warna dan gelora apabila Fátima Bosch Fernández dari Mexico dimahkotakan sebagai ratu baharu.
Namun, di sebalik sorakan gemuruh, pentas tahun ini juga diselubungi kontroversi yang menjadikannya antara edisi paling dramatik dalam sejarah pertandingan itu.
Bosch, 25 tahun, seorang sukarelawan dan aktivis kemanusiaan, menerima mahkota daripada penyandang 2024, Victoria Kjær Theilvig dari Denmark.

Naib Johan pula disandang Praveenar Singh dari Thailand, manakala baki kedudukan lima terbaik (Top 5) diisi oleh Stephany Abasali (Venezuela), Ahtisa Manalo (Filipina), dan Olivia Yacé (Ivory Coast).
Thailand, sebagai tuan rumah, terkenal dengan budaya pertandingan ratu cantiknya yang meriah dan ‘fanbase’ besar.

Namun tahun ini, pentas glamor bertukar tegang apabila satu mesyuarat terbuka antara peserta dan pihak penganjur bertukar panas apabila seorang pengarah pertandingan dari Thailand dilihat memaki hamun Fatima Bosch secara terbuka.
Rakaman tersebut tular, mencetuskan kritikan hebat. Kekecohan itu juga menyebabkan beberapa peserta dihalang keluar dari lokasi acara oleh pihak keselamatan.
Dalam pada itu, sumber dalam industri mendedahkan berlaku penarikan diri beberapa juri pada hari-hari terakhir menuju final.
Walaupun penganjur tidak mengeluarkan kenyataan rasmi, tindakan itu dikaitkan dengan ketegangan dalaman dan ketidakpuasan hati terhadap kaedah pengurusan tertentu.
Situasi ini menguatkan persepsi peminat bahawa edisi 2025 mengalami masalah struktur dan komunikasi sejak awal.

Selain kemenangan Bosch, salah satu sorotan terbesar Miss Universe 2025 ialah penyertaan Ratu Palestin, Nadeen Ayoub — pertama kali dalam sejarah Palestin menghantar wakil ke Miss Universe.
Nadeen, 17, jurulatih kesihatan dan aktivis wanita, muncul bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai simbol ketahanan dan identiti Palestin.
Beliau membawa misi untuk mengangkat suara dan kisah wanita Palestin ke pentas global, dengan gaya dan pakaian yang menonjolkan warisan budaya negaranya.
Nadeen berjaya mara ke Top 30, suatu pencapaian bersejarah bagi Palestin walaupun baru pertama kali menghantar wakil ke Miss Universe.
Walaupun gagal melangkah ke Top 12, pencapaiannya tetap menjadi sorotan media dan penggemar pertandingan ratu cantik kerana memberi Palestin pengiktirafan di pentas global.
