Sunday, April 19

Konsert Dolla 6 Disember dibatalkan

Oleh BIANCA HILMAN

KONSERT Dolla yang dijadual berlangsung pada 6 Disember 2025 di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor terpaksa dibatalkan selepas pihak penganjur, Sah Entertainment bersama syarikat rakaman kumpulan popular itu, Universal Music menilai semula keseluruhan persiapan acara. mengesahkan mereka berdepan kekangan masa dan masalah pengurusan dalaman. 

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan kepada media.

Menurut penganjur, keputusan tersebut diambil selepas beberapa proses penting melibatkan produksi, logistik dan penyelarasan acara tidak dapat diselesaikan mengikut jadual.

Pengarah Sah Entertainment, Sufie Rashid, berkata keputusan itu dibuat setelah melihat beberapa kekangan, terutamanya dari aspek teknikal, keselamatan dan tempoh persediaan yang semakin suntuk.

Menurut Sufie, selepas melakukan semakan menyeluruh, pihak penganjur mendapati persiapan akhir konsert tidak dapat disempurnakan dalam masa yang ditetapkan.

Selepas menilai semula keseluruhan garis masa persiapan acara, termasuk aspek keselamatan, teknikal, kelulusan yang diperlukan dan persediaan operasi, kami mendapati persiapan akhir acara mungkin tidak dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan.

Meneruskan acara dalam keadaan yang tidak menentu ini boleh membawa risiko yang tidak perlu, termasuk kemungkinan gangguan acara pada saat akhir dan ini akan menjejaskan semua pemegang tiket.

Keutamaan kami adalah keselamatan dan kesejahteraan artis, kru, pasukan venue dan terutama sekali para peminat. Kami enggan menyampaikan persembahan yang kurang daripada apa yang terbaik daripada Dolla,” ujar kenyataan itu.

Sehubungan itu,peminat yang sudah membuat pembelian tiket tidak perlu bimbang kerana pihak penganjur mengesahkan bahawa pemulangan wang akan dilakukan sepenuhnya. 

Mereka yang sudah membeli tiket konsert Dolla itu diminta menyemak e-mel masing-masing atau menghubungi khidmat pelanggan platform tiket rasmi untuk panduan selanjutnya.

Reaksi peminat di media sosial bercampur-baur;  ada yang kecewa, tetapi ramai juga memahami situasi penganjur dan berharap konsert dapat dijadualkan semula pada tahun hadapan.

Pembatalan konsert berkenaan turut berlaku di tengah-tengah perhatian umum terhadap Dolla selepas kontroversi melibatkan pakaian seksi dalam video muzik terbaharu mereka, Question. 

Video itu mencetuskan perdebatan hangat apabila pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menegur penampilan dan aksi mereka yang dianggap terlalu mencolok mata. 

Isu tersebut semakin memuncak apabila Menteri Hal Ehwal Agama, Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar memberi komen bahawa selebriti Islam yang berpakaian mencolok boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang syariah. 

Kenyataan itu kemudiannya dibalas oleh peguam Latheefa Koya, yang mengingatkan bahawa kementerian atau seorang menteri kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyiasat atau mendakwa rakyat, termasuk artis dan segala tindakan mesti melalui proses undang-undang yang sah. 

Kontroversi ini menyebabkan syarikat rakaman mereka mengambil langkah menurunkan video muzik tersebut daripada platform rasmi sebagai menghormati sensitiviti masyarakat.