Saturday, May 30

Hat Yai dilanda banjir teruk, diisytihar zon bencana kritikal

Susunan DEANNA DEAN

BANGKOK: Hat Yai diisytiharkan sebagai zon bencana `red-flag’ (kritikal) selepas dua hari hujan lebat yang memaksa pemindahan penduduk.

Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, pula memberi jaminan bahawa wilayah-wilayah di selatan mempunyai pelan tindak balas dan bantuan akan menyusul.

Hat Yai tenggelam dalam kekacauan lewat malam Khamis lalu selepas hujan berterusan selama dua hari membawa sejumlah besar air masuk ke kawasan komersial bandar itu, mendorong pihak berkuasa mengisytiharkan darurat banjir kritikal serta menggesa penduduk berpindah ke kawasan selamat.

Pada jam 10 malam tadi, Datuk Bandar Majlis Perbandaran Hat Yai, Narongporn Na Phatthalung, mengumumkan pengisytiharan bencana melibatkan 65 komunit, iaitu 28 di Daerah 1, 29 di Daerah 2 dan 8 di Daerah 3, berikutan hujan lebat yang mengatasi kapasiti sistem perparitan dan menyebabkan pengumpulan air yang cepat di seluruh kawasan bandar.

544 mm hujan dalam tiga hari, sistem perparitan gagal menampung

Datuk bandar itu berkata, Hat Yai merekodkan jumlah hujan terkumpul sebanyak 544 milimeter dalam tempoh tiga hari.

Hujan lebat di cerun timur perbandaran, khususnya sekitar Khao Kho Hong, lembangan Khlong Phae dan lembangan Khlong Rian, memaksa pihak berkuasa melepaskan air dari kawasan tadahan Khlong Rian yang tidak lagi mampu menampung limpahan tambahan.

Pelepasan air itu menghantar aliran besar ke dua saluran utama dalam Hat Yai, iaitu Khlong Rian dan Khlong Sam Sip Met, meningkatkan kemungkinan berlaku banjir besar di banda.

Amaran banjir kritikal memaksa penduduk memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi dan berpindah segera jika perlu.

Kekacauan malam ketika penduduk bergegas selamatkan barangan

Wartawan di lokasi berkata, amaran itu mencetuskan panik di seluruh bandar, terutama di kawasan komersial utama seperti Pasar Kim Yong, Pasar Santisuk dan Pasar Chee Chang.

Penduduk dilihat bertungkus-lumus mengangkat barangan rumah, memindahkan stok kedai serta mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas serius di beberapa jalan.

Perdana Menteri: Selatan ada pelan tindak balas, bantuan akan menyusul

Bercakap di pangkalan udara tentera Wing 6 Don Mueang pada jam 8.10 pagi hari ini, Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan telah menjangkakan hujan lebat di selatan dan menyediakan langkah tindak balas serta bantuan lebih awal.

“Kami tahu ini adalah tempoh yang berisiko berlaku kejadian sebegini, dan bantuan sedang disalurkan mengikut peraturan sedia ada,” katanya, sambil menambah bahawa setiap wilayah telah pun mempunyai pelan kecemasan dan telah menggerakkan sumber masing-masing.

Ditanya sama ada pampasan akan diberikan bagi kerosakan pertanian, Anutin menjawab bahawa bantuan akan diberikan mengikut kriteria rasmi.

Kawasan yang mengalami kerosakan luar biasa atau teruk boleh menerima sokongan tambahan berdasarkan pertimbangan kes demi kes.