Friday, June 19

Rindu Pennywise? It: Welcome to Derry musim 2 lebih kejam

Oleh BIANCA HILMAN

SIRI lapan episod It: Welcome to Derry telah melabuhkan tirai musim pertamanya di HBO Max pada 14 Disember 2025 meraih sambutan yang sangat menggalakkan, dengan ‘masyarakat’ netizen global ‘kecoh’ dan gempar di seluruh media sosial terutama terhadap watak kanak-kanak Cuba-Amerika, Rich Santos (lakonan Arian S. Cartaya).

Namun setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada HBO mengenai keputusan pembikinan Musim 2, namun menurut pencipta bersama dan pengarahnya, Andy Muschietti, siri seram HBO ini sebenarnya dirancang sebagai sebuah trilogi tiga musim.

Arian S Cartaya (depan, kiri) di samping sebahagian daripada pelakon watak penting It: Welcome to Derry.

Bagi peminat novel nukilan penulis prolifik Stephen King, trilogi prekuel ini bukan sekadar kisah sampingan yang mengadaptasi novel popular King yang berjudul,It (King hanya menghasilkan sebuah novel It yang diterbitkan pada tahun 1986), manakala sebuah lagi novel popularnya, The Shining diterbitkan pada 1977, turut diadaptasi dan ditayangkan di layar perak dengan judul yang sama pada 1980 menampilkan lakonan Jack Nicholson yang meraih Oscar Aktor Terbaik).

Sebaliknya ia berfungsi sebagai prekuel rasmi kepada dua filem box-office It arahan Muschietti, iaitu It (2017) dan It Chapter Two (2019).

Filem It ( yang ditayangkan pada 2017) sebelum ini memfokus terhadap tujuh remaja yang menetap di bandar Derry dalam daerah Maine pada 1989 sebelum menubuhkan Losers Club mewakili diri mereka yang ‘tersisih’ tetapi kemudiannya berhadapan dengan mimpi ngeri terburuk mereka – badut dikenali sebagai Pennywise yang digelarkan mereka sebagai ‘It’, entiti kejahatan masa silam yang muncul dari pembentung setiap 27 tahun untuk memakan kanak-kanak di bandar itu.

Sementara sekuel filem itu, It Chapter Two (ditayangkan pada 2019) mengisahkan mengenai ahli Losers Club – 27 tahun kemudian, iatu pada 2016 yang kini sudah menginjak usia dewasa sekali lagi berhadapan dengan Pennywise di Derry.

Welcome to Derry – prekuel dunia IT

Sebagai musim pertama trilogi tersebut, It: Welcome to Derry yang berlatar belakang era 1960-an meneroka asal-usul keganasan Pennywise ‘The Dancing Clown’ ini.

Ia memaparkan bukan sahaja sekadar memaparkan mengenai kes kehilangan kanak-kanak berlaku secara misteri di Derry, tetapi diperkuat dengan plot keganasan kaum antara kulit putih dan kulit hitam, dan tragedi berulang yang dibiarkan tanpa soal, serta ketakutan dan kebisuan masyarakat Derry terhadap kes sebilangan penduduk bandar itu yang sebenarnya menjadi juadah ‘makanan’ Pennywise.

Semua ini membina asas kepada peristiwa yang kemudiannya berlaku dalam dua filem It, menjadikan siri ini penting untuk memahami mitologi penuh Pennywise.

Musim 2: Paparan Derry tahun 1935

Menurut Andy Muschietti, Musim 2 akan membawa penonton lebih jauh ke masa lalu, iaitu ke tahun 1935, bersamaan 27 tahun sebelum peristiwa Musim 1.

Musim ini akan berlatarbelakangkan Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang dialami bandar Derry dalam suasana yang lebih tertekan, miskin dan terdedah kepada keganasan.


Fokus utama: Pembunuhan beramai-ramai Geng Bradley

Musim 2 trilogi prekuel ini dijangka memfokuskan kepada tragefi pembunuhan beramai-ramai Geng Bradley (Bradley Gang Massacre), satu tragedi tembak-menembak berdarah yang melibatkan seluruh bandar Derry — peristiwa yang diceritakan dalam novel It nukilan Stephen King tersebut.

Salah satu watak penting dalam IT: Welcome to Derry , Dick Hallorann lakonan Chris Chalk.

Peristiwa ini bukan asing kepada audiens memandangkan ia diselitkan dalam episod pertama dalam Musim 1 melalui babak penemuan sebuah kereta era 1930-an mangsa yang tenggelam dalam sungai.

Ia juga pernah dipaparkan secara simbolik dalam filem It (2017) melalui mural besar; selain muncul sepintas lalu dalam It Chapter Two (2019).

“Ia (It: Welcome to Derry Musim 2) berlaku semasa Zaman Kemelesetan di Derry, dan terdapat beberapa watak baharu serta beberapa watak daripada musim pertama ini — tetapi versi mereka yang lebih muda,” jelas Muschietti.

Watak lama kembali dalam versi lebih muda

Kemunculan semula beberapa watak dalam Musim 1 sebagai versi lebih muda dalam Musim 2 adalah antara info yang paling menarik.

Watak-watak dalam Musim 1 yang dijangka kembali (dalam versi lebih muda) dalam Musim 2 ialah Rose (lakonan Kimberly Norris Guerrero), wanita keturunan Orang Asli Amerika yang bertindak sebagai pewaris penjaga arkib rahsia dan Derry dalam menentang Pennywise, menghubungkan kisah kuno bumi Derry itu dan asal-usul Pennywise.

Selain itu dijangka bakal kembali dalam Musim 2 ialah versi muda beberapa watak penting remaja Musim 1 yang mempunyai kaitan secara langsung dengan ahli Losers Club dalam dua filem It, terutama Marge (penampilan Matilda Lawler) yang sebenarnya setelah dewasa ialah Margaret Tozier, ibu kepada Richie Tozier (lakonan Finn Wolfhard), salah seorang ahli Losers Club dalam filem It (2017).

Siapa lagi gerangan watak yang akan muncul dalam Musim 2 masih dirahsiakan, dan peminat hanya mampu menunggu pengumuman rasmi daripada HBO.

Satu lagi fakta yang menarik ialah watak Dick Hallorann yang ditampilkan dalam Musim 1 tatkala menginjak usia emas ditampilkan dalam filem The Shining (1980) dilakonkan oleh aktor Scatman Crothers.

Penceritaan tidak linear & kitaran Pennywise

Dalam temu bual bersama Variety, Muschietti turut menitipkan  bahawa trilogi prekuel It akan menunjukkan bagaimana Pennywise mengalami masa secara tidak linear.

Secara keseluruhan, arka cerita besar Welcome to Derry melibatkan tiga kitaran kritikal Pennywise, iaitu tahun 1962 – Musim 1, 1935 – Musim 2 (dirancang), dan 1908 – Musim 3 (dirancang).

Musim 3: Tragedi letupan Kitchener Ironworks

Walaupun juga belum disahkan, Musim 3 dirancang berlaku pada tahun 1908, iaitu 27 tahun sebelum Musim 2.

Musim ini akan memfokuskan kepada tragedi letupan Kitchener Ironworks, kejadian ngeri semasa pemburuan telur Easter menyebabkan 102 korban nyawa, termasuk 88 kanak-kanak.

Peristiwa ini pernah dirujuk dalam Musim 1 menerusi watak askar, Dick Hallorann (lakonan Chris Chalk) yang terlihat mayat seorang kanak-kanak tanpa kepala semasa kebakaran di Black Spot — satu petunjuk awal kepada sejarah gelap Derry.

Watak Richie Tozier (kanan) di samping enam lagi ahli Losers Club yang ditampilkan dalam filem It (2017).

Tarikh tayangan Musim 2 It: Welcome to Derry

Setakat ini, HBO masih belum tarikh tayangannya,  It: Welcome to Derry musim 1 telah memecahkan rekod tontonan sulung di HBO Max, serta menerima sambutan positif peminat dunia It, dan lebih hebat ramai yang menyatakan ia lebih menarik berbanding Strangers Thing musim 5 yang kini ditayangkan di Netflix.

Muschietti menyatakan harapannya agar siri ini dapat diteruskan secepat mungkin, bergantung kepada keputusan HBO.

Sesungguhnya It: Welcome to Derry bukan sekadar kisah tentang badut kejam yang menakutkan. 

Ia adalah prekuel penting yang menjelaskan tentang bagaimana Derry menjadi sebuah bandar yang terkena sumpahan gangguan Pennywise, mengapa Pennywise begitu sukar ditewaskan, dan bagaimana trauma kolektif membolehkan kejahatan terus hidup.

Bagi peminat dua filem It, trilogi prekuel ini menambah lapisan makna yang lebih mendalam — dan jika Musim 2 diteruskan, ia  bakal menjadi lebih ‘gelap’ dan kejam daripada Musim 1 yang banyak menampilkan adegan Pennywise membunuh mangsanya termasuk orang dewasa dan kanak-kanak dengan memakan mereka.