Tuesday, July 21

Mangsa seksual: Pelakon filem It Chapter Two ditemui meninggal dunia

Oleh BIANCA HILMAN

HOLLYWOOD/LOS ANGELES: Dunia hiburan dikejutkan dengan kematian James Ransone, pelakon berbakat Hollywood yang dikenali menerusi peranannya dalam siri ikonik 12 siri HBO, The Wire dan filem It Chapter Two

Ransone dilaporkan meninggal dunia pada usia 46 tahun.

Menurut laporan awal yang pertama kali disiarkan oleh TMZ pada Ahad, 21 Disember 2025, kematian Ransone berlaku pada Jumaat, 19 Disember; dan telah disahkan oleh Pemeriksa Perubatan Los Angeles. 

Jabatan Polis Los Angeles bergegas ke sebuah kediaman di Los Angeles, California selepas menerima panggilan telefon kecemasan yang kemudian menyelesaikan laporan siasatan kematian mengklasifikasikan punca kematian Ransone sebagai bunuh diri, lapor pula New York Post.

Namun tiada unsur bermotifkan jenayah disyaki.

James Ransone melakonkan watak Eddie Kaspbrak pada usia dewasa dalam filem It Chapter Two (foto kiri), manakala pelakon remaja, Jack Gylan Drazer (gambar kanan) melakonkan karakter tersebut ketika kanak-kanak dalam filem, It (2017).

Memulakan kerjaya lakonan pada 2001 ketika berusia 22 tahun sebagai bintang undangan dalam dua episod siri TV, Law in Order serta filem The American Astronaut; setahun kemudian Ransone kemudian membina kerjaya lakonannya menerusi siri TV, Third Watch dan Ed, selain filem Ken Park.

Namun, Ransome meninggalkan kesan mendalam menerusi wataknya sebagai Ziggy Sobotka – seorang pekerja dok dan gangster menerusi siri The Wire yang disiarkan di HBO pada 2003, persembahan lakonan yang ketika itu berumur 24 tahun dipuji pengkritik dan audiens. 

Sepanjang kerjaya lakonannya, Ransone mengumpul kredit lakonan yang meluas termasuk sebagai bintang undangan menerusi siri TV popular CSI: Crime Scene Investigation, Hawaii Five-0, Burn Notice, Tangerine; serta filem seram The Black Phone (2021) dan terbaharu sekuelnya yang ditayangkan pada tahun ini, The Black Phone 2

Pelakon yang sudah menjalani karier lakonan selama lebh dua dekad ini sering melakonkan karakter berat dalam siri TV dan filem lakonannya.

Kepelbagaian watak lakonannya menjadikan beliau antara pelakon berkarakter yang dihormati dalam industri. 

Selama lebih dua dekad beliau menghambakan diri dalam dunia lakonan filem indie (persendirian), namun di bawah garapan pengarah berprestij Hollywood seperti Spike Lee dan Sean Baker.

It Chapter Two merupakan naskhah pertama beliau melangkah ke dalam arus filem perdana di Hollywood.

Beliau memegang watak penting sebagai salah ahli The Losers Club, Eddie Kaspbrak (ketika dewasa) dalam It Chapter Two yang ditayangkan pada 2019 dan meraih kutipan box-office AS$473.1 juta berbanding kos pembikinannya, AS$79 juta.

James Ransone (tiga dari kanan) bersama lima pelakon watak penting It Chapter Two.

“Saya tidak pernah terlibat dalam budaya pop (popular) seperti ini, saya tidak pernah mengalami detik seperti ini,” kongsi Ransone dalam temu bual dengan IndieWire pada 2019. 

“Saya tidak tahu ia akan menjadi sehebat (meraih watak lakonan dalam filem arus perdana) itu. Perkara ini sangat besar sehingga membuatkan saya pelik? Kerana saya tidak pernah menjangkakan bahawa saya akan menjadi sebahagian daripadanya,” tambahnya.

Merujuk kepada senarai produksi lakonannya sebelum membintangiIt Chapter Two, mendiang memulakan karier lakonannya dalam keadaan penuh tekanan – melakonkan karakter-karakter berat dalam filem persendirian yang mengambil tempoh penggambaran yang lama dan dihasilkan dalam bajet rendah termasuk yang diarahkan oleh Spike Lee dan Sean Baker tersebut.

Lakonan menyerlah dan efektif James Ransone sebagai gangster dalam siri HBO, The Wire.

Beliau pernah berpindah ke Namibia pada 2006 untuk mempersiapkan diri untuk peranannya dalam siri HBO (2008), Generation Kill, yang mana beliau mengakui bukan sahaja cuba untuk menyelami watak lakonannya, tetapi untuk ‘keluar’ daripada dirinya sendiri – bahawa kehidupannya sebagai pelakon menyukarkan dirinya untuk menjalani kehidupan seperti orang kebanyakan.

Dalam temu bual itu juga, Ransone juga mengakui pada 2006 juga, ketika berusia 27 tahun, beliau bergelut dengan masalah ketagih heroin dan hutang sebanyak AS$30,000; dan sebelum musim panas 2017 (sebelum dilamar untuk membintangi It Chapter Two), beliau pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan dunia lakonan dan menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang teologi.

Ransone dilahirkan di Baltimore, Amerika Syarikat pada tahun 1979 dan menimba ilmu di Carver Center for Arts and Technology, Towson, Maryland, dari 1993 hingga 1997.

Di sebalik kemilau glamor segelintir bintang Hollywood seperti mendiang james Ransone, pasti ada sejarah pahit masa silam yang menhantui diri mereka.

Pada 2021, Ransone berkongsi trauma kisah pahitnya ketika berumur 12 tahun, apabila seorang bekas tutor yang bekerja di sekolah tersebut telah menderanya secara seksual, lapor Baltimore Sun.

Ransone menulis di Instagram miliknya bahawa penderaan seksual tersebut adalah faktor di sebalik ketagihan alkohol dan heroin yang kemudiannya dialaminya.

Selain itu dalam temu bual pada 2016, Ransone berkata dia bergelut ‘dengan katarsis lakonan’ berkait  watak lakonan yang disukainya.

“Saya akhirnya tidak memainkan banyak watak yang disukai, jadi saya mendapati diri saya hidup dalam banyak ‘kulit’ (watak lakonan)  yang tidak disukai,” luahnya.

“Akibat daripada itu, saya tidak sentiasa berasa diri ini semakin baik (dari segi mental dan emosi),” tambahnya.

Rakan baik lancar dana GoFundMe

Sehingga 2024, Ransone yang menurut Screen Dollar memiliki aset bersih kekayaannya dianggarkan hanya AS$500,000 meninggalkan balunya, Jamie McPhee, dan dua anak, Jack dan Violet.

Sehubungan itu, pengumpulan dana GoFundMe telah dimulakan oleh rakan baik mendiang, Camille Garmendiaa yang berkongsi pautan di Instagram dan menulis, “Rakan yang saya sayangi meninggal dunia. Kami melancarkan dana GoFundMe untuk membantu keluarganya. Mohon derma dan sebarkan maklumat mengenainya jika anda boleh. Terima kasih.”

Menurut Camille, dana itu telah diwujudkan untuk menyokong Jamie, yang dikenali oleh rakan-rakannya sebagai Skipper, dan dua anak pasangan itu, Jack dan Violet.

“Ia bermatlamat ‘untuk memberi Jamie ruang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada Jack dan Violet, menjaga mereka, melindungi rasa selamat mereka, dan memastikan mereka mempunyai masa depan yang cerah – walaupun tanpa cahaya James hadir dalam kehidupan seharian mereka,” kongsi Camille yang turut memberitahu setakat ini, sebanyak AS$38,150 telah dikumpulkan.