Friday, June 19

Taylor Swift kini rasmi penyanyi wanita terkaya di dunia

Oleh BIANCA HILMAN

TAYLOR Swift yang digosip bakal mengahwini tunangnya, bintang American Football dari kelab Kansas City Chiefs, Travis Kacey menjelang Jun 2026, kini secara rasminya telah bergelar ‘penyanyi wanita terkaya di dunia’, dengan anggaran nilai bersih kekayaan terkumpul yang diraihnya mencecah AS$2.1 bilion. 

Pencapaian luar biasa khususnya sepanjang tahun 2025 ini menjadikannya artis wanita pertama yang mencapai status bilionair hampir sepenuhnya melalui muzik dan persembahan, tanpa bergantung kepada empayar perniagaan seperti kosmetik atau fesyen.

Angka ini membolehkannya mengatasi Rihanna, yang sebelum ini memegang gelaran penyanyi wanita terkaya dunia dengan anggaran aset kekayaan terkumpul mencecah AS$1.4 bilion.

Menurut laporan kewangan yang disahkan oleh Bloomberg dan Forbes, kekayaan Taylor melonjak mendadak hasil kejayaan Jelajah Eras (The Eras Tour) —  konsert jelajah dengan kutipan tertinggi dalam sejarah muzik global yang bermula pada pada Mac 2023, selama 21 bulan melangkaui lima benua sehingga 12 Disember 2025.

Jelajah Eras julang status bilionair Taylor

Walaupun jumlah kutipan keseluruhan jelajah sangat besar, pendapatan peribadi Taylor Swift dianggarkan melebihi AS$500 juta selepas ditolak kos produksi. 

Keuntungan ini turut disokong oleh jualan barangan rasmi (merchandise) yang mencatatkan rekod sejak 2023.

Kesan ekonomi Jelajah Eras begitu ketara sehingga beberapa pakar menyifatkannya memberi impak ekonomi setara atau lebih besar daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sesetengah negara kecil, terutama pada 2023.

Katalog muzik cecah nilai AS$600 juta

Selain jelajah, nilai kekayaan Swift turut didorong oleh katalog muziknya yang dianggarkan bernilai sekitar AS$600 juta. 

Nilai ini meningkat ketara selepas beliau merakam semula album awal sebagai ‘Taylor’s Version’ (‘Versi Taylor’), sekali gus mengukuhkan kawalan terhadap hasil royalti.

Pada tahun 2025, Taylor Swift juga dilaporkan berjaya membeli semula hak master untuk enam album terawal beliau — satu langkah strategik yang dianggap kemenangan besar dalam industri muzik.Pendapatan tambahan turut datang daripada penstriman globalm, jualan album fizikal dan digital, jualan single digital, filem konsert The Eras Tour yang mencatat kutipan box office domestik (pasaran Amerika Syarikat) sekitar AS$250–261 juta.

Sementelah, album terbaharunya, The Life of a Showgirl ialah album 2025 yang mendapat pensijilan tertinggi, memandangkan RIAA telah memberi penghormatan kepadanya dengan lima plak platinum.

Kejayaan platinum lima kali ganda itu bermakna album terbaru Taylor telah memindahkan lima juta unit setara antara jualan tulen dan aktiviti penstriman.

Bakal penyanyi No. 1 terkaya di dunia

Dengan pencapaian ini, Taylor, 36,  bukan sekadar mengatasi Rihanna yang sebelum ini satu-satunya penyanyi wanita berstatus bilionair, tetapi berada di kedudukan kedua dalam senarai Top 10 penyanyi terkaya di dunia dan mengejar kedudukan penyanyi No. 1 penyanyi terkaya dunia yang ketika ini disandang oleh rapper, Jay-Z, 56, dengan aset  kekayaan terkumpul, AS$2.6 bilion.

Forbes menyifatkan laluan kejayaan Taylor itu sebagai ‘luar biasa dan belum pernah berlaku’, kerana kekayaannya berakar hampir sepenuhnya daripada 11 album studio, penulisan lagu, dan persembahan pentas sejak beliau berusia 15 tahun.

Taylor diketahui umum dengan prinsipnya yang enggan menjadi duta sebarang jenama produk pihak lain, malah beliau juga tidak seperti Rihanna yang menceburi bidang bisnes dengan melancarkan jenama kosmetik inklusif, Fenty Beauty pada 2017.

Kecekapan strategi Taylor, terutamanya dalam mengendalikan isu pemilikan master rakaman selepas penjualan katalog kepada Scooter Braun pada 2019, turut mengukuhkan reputasinya sebagai artis yang bijak dalam perniagaan.

Legasi seorang ikon global

Kejayaan TaylorTaylor Swift kini penyanyi wanita terkaya di dunia Swift bukan sekadar tentang angka, tetapi juga tentang bagaimana seorang artis yang masih dalam usia muda di bawah 40 tahun, boleh membina empayar kewangan tanpa mengorbankan integriti seni. 

Daripada penulisan lagu peribadi hingga jelajah berskala global, Swift kini bukan sahaja ikon muzik, malah simbol kuasa kreatif dan ekonomi dalam industri hiburan moden.