Tuesday, July 21

Nubhan & Dr Fie: Bila kejayaan lelaki dirai, hak wanita dipinggirkan

Oleh BIANCA HILMAN

KUALA LUMPUR: Isu rumah tangga selebriti kembali menjadi tumpuan, namun kali ini ia lebih daripada sekadar gosip hiburan. 

Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, lebih dikenali sebagai Dr Fie, pada malam (Isnin) tadi mendedahkan pengalaman mengejutkan apabila mendakwa pelbagai barangan peribadinya diangkut keluar dari rumah yang didiaminya bersama anak-anak tanpa sebarang notis, semasa beliau dan anak‑anaknya itu berada di luar negara.

Dalam hantaran di Threads, Dr Fie menceritakan bagaimana barangannya ‘dicampak’ di depan rumah ibu bapanya, sementara CCTV didakwa ditutup, menimbulkan persoalan serius tentang etika, hak wanita, dan perlindungan undang‑undang. 

Kejadian ini bukan sahaja meninggalkan kesan emosi, malah menimbulkan risiko kehilangan barangan berharga dan dokumen penting yang sememangnya hak beliau.

“Tangan saya menggigil. At least tunggu lah harta sepencarian. Atau bincang elok‑elok. Kenapa buat terkejut-terkejut macam ni?” luah  Dr Fie dalam hantaran Threads berkenaan.

Hak wanita & harta sepencarian

Situasi ini menggariskan isu yang lebih besar daripada konflik peribadi, bahawa hak wanita terhadap harta sepencarian dan keselamatan peribadi. 

Dalam konteks undang-undang Malaysia, tindakan memindahkan atau merampas barang milik pasangan tanpa persetujuan boleh dianggap melanggar hak harta, terutamanya jika melibatkan anak-anak dan rumah tangga bersama.

Dr Fie jelas berusaha menjaga aib dan mengelakkan kontroversi, tetapi kejahatan emosi ini menuntut perhatian masyarakat dan pihak berkuasa. Ia juga menekankan pentingnya kesedaran bahawa wanita mempunyai hak untuk diperlakukan dengan hormat dan adil dalam proses perceraian atau pembahagian harta.

Nubhan & persepsi awam

Di sebalik kontroversi ini, bekas suami Dr Fie, penyanyi Nubhan, mencatat kejayaan di pentas Gegar Vaganza 12, muncul sebagai juara minggu ke-9 pada malam Ahad (sehari sebelum kejadian yang didakwa berlaki oleh Dr Fie itu) dengan markah tertinggi. 

Namun, pencapaian ini tidak menghapuskan persoalan moral dan sosial, bahawa bolehkah masyarakat menilai artis berdasarkan persembahan hiburan sahaja, apabila hak dan emosi bekas pasangan diabaikan?

Suara Voolora: Feminisme dan keadilan

Sebagai platform wanita, Voolora menegaskan bahawa hak wanita mesti diutamakan, terutamanya dalam isu harta, keselamatan, dan penghormatan emosi. 

Tiada sesiapa, tidak kira selebriti atau bukan, boleh merampas barang atau mengheret wanita melalui kejutan psikologi.

Kami menyeru netizen, pihak media, dan masyarakat umum untuk tidak hanya melihat isu ini sebagai gossip, tetapi sebagai isu hak wanita dan keadilan undang-undang

Sokongan terhadap wanita seperti Dr Fie bukan sekadar simpati; ia adalah peneguhan prinsip bahawa hak kita mesti dihormati.

“Kuatkan aku!! Kuatkan aku!!” tulis  Dr Fie.

Lebih daripada kata-kata, ia adalah seruan kepada masyarakat untuk menghormati hak wanita dan memastikan keadilan ditegakkan.