Saturday, May 30

Lantang kritik Trump: Jennifer Lawrence kini berdiam diri

Oleh  BIANCA HILMAN

AKTRES berbakat dan pemenang Oscar, Jennifer Lawrence, mendedahkan sebab mengapa dia kini memilih untuk tidak lagi bercakap secara terbuka tentang politik, selepas pernah lantang bersuara menentang Donald Trump beberapa tahun lalu.

Dalam satu temu bual bersama The New York Times yang diterbitkan hujung minggu lalu, bintang berusia 35 tahun itu berkata dia kini lebih berhati-hati untuk menyuarakan pandangannya mengenai isu politik.

“Saya tidak tahu sama ada saya patut (lantang isu politik). Pentadbiran Trump yang dulu sangat liar… saya rasa seperti saya berlari-lari seperti ayam tanpa kepala,” jelas Jennifer.

“Tapi seperti yang telah kita pelajari, selebriti tidak membuat perbezaan langsung tentang siapa yang orang undi.

Pelakon siri filem The Hunger Games itu turut mengakui bahawa dia kini melihat keadaan politik Amerika Syarikat sebagai sangat berpecah belah, dan bimbang pandangannya hanya akan ‘menambah bahan api kepada api’ yang sudah pun panas di negara itu.

Pada tahun 2016, Jennifer pernah menulis surat terbuka selepas kemenangan Trump, dan kembali bersuara pada awal 2017 bagi menentang larangan perjalanan (travel ban) yang diperkenalkan oleh pentadbiran Trump. 

Namun, selepas beberapa tahun melihat reaksi masyarakat, dia akhirnya memilih untuk menyimpan pandangan politiknya secara peribadi.

Kini, Jennifer lebih memberi tumpuan kepada keluarga, karier lakonan, dan kesejahteraan diri, tanpa perlu terlibat secara aktif dalam perdebatan politik.