Friday, June 19

Jonathan Bailey lelaki terseksi dunia 2025!

Oleh BIANCA HILMAN

BINTANG kacak Bridgerton dan Wicked, Jonathan Bailey, kini secara rasmi Lelaki Paling Seksi 2025 yang dinobatkan oleh majalah People!

Pengumuman istimewa itu dibuat secara langsung menerusi program bual bicara The Tonight Show yang dikelolakan hos tersohor, Jmmy Fallon pada malam Isnin.

Bailey, 37, mengambil alih gelaran daripada pelakon The Office dan Jack Ryan, John Krasinski, yang dinobatkan pada tahun 2024. 

Dalam temu bual bersama People, Bailey mengakui dirinya masih terkejut dengan penganugerahan itu.

“Ia satu penghormatan yang besar. Saya sangat berasa disanjung – dan jujurnya, ia langsung tidak masuk akal,” katanya sambil ketawa.

Jonathan Bailey bakal muncul di samping Ariana Grande dalam filem Wicked For Good menjelang 21 November 2025 (FOTO: Medsos).

Tahun ini memang milik Jonathan Bailey sepenuhnya! Selepas mencuri perhatian sebagai Prince Fiyero dalam filem muzikal Wicked (2024), beliau bakal kembali dalam bahagian kedua filem itu, Wicked For Good yang akan ditayangkan bermula pada 21 November 2025. 

Tambahan pula, Bailey turut membintangi filem blockbuster, Jurassic World Rebirth di samping Scarlett Johansson yang ditayangkan Julai lalu dan menerima pencalonan Emmy 2024 menerusi peranannya dalam siri Fellow Travelers.

Bailey mula dikenali ramai menerusi watak Lord Anthony Bridgerton dalam siri hit Bridgerton di Netflix — dan sejak itu, aura karismanya semakin menyerlah. 

Dalam penampilan di The Tonight Show, beliau berseloroh.

“Saya rasa ini penghormatan seumur hidup. Dan saya teruja bila People pilih seseorang yang betul-betul faham nilai seorang lelaki seksi,” katanya dengan gaya bersahaja.

Menariknya, minat Bailey terhadap dunia lakonan sudah bermula sejak kecil lagi. 

Ketika berusia lima tahun, neneknya membawanya menonton muzikal Oliver! — dan dua tahun kemudian, impian kecil itu menjadi nyata apabila dia beraksi di pentas Royal Shakespeare Company.

Sepanjang kariernya, Bailey sudah banyak menonjol dalam teater, termasuk membintangi Richard II di London awal tahun ini.

Penampilan Jonathan Bailey dan filem Jurassic World Rebirth (FOTO: Medsos).

Gelaran Sexiest Man Alive pertama kali diperkenalkan pada 1985, dengan Mel Gibson sebagai penerima sulung. Antara pemenang terdahulu termasuk Brad Pitt, George Clooney, John F. Kennedy Jr., David Beckham, Michael B. Jordan, John Legend, Dwayne Johnson, Paul Rudd, Pierce Brosnan, dan Patrick Dempsey.

Bailey akan menghiasi muka depan edisi khas People yang diterbitkan Jumaat ini. 

Walaupun terikat dengan kerahsiaan sebelum pengumuman rasmi, beliau mengakui tidak mampu menyimpannya sepenuhnya;  lalu berkongsi berita itu terlebih dahulu dengan anjing kesayangannya, Benson, yang turut akan muncul dalam keluaran tersebut. 🐾