
Oleh BIANCA HILMAN
ISU kumpulan Dolla dan pakaian seksi memasuki episod baharu apabila seorang peguam, Latheefa Koya menegaskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan atas kesalahan syariah terhadap ahli kumpulan Dolla, Sabronzo (atau nama sebenarnya, Wan Sabrina Wan Rusli) susulan sebuah video muzik yang didakwa terlalu seksi.
“Seorang menteri kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyiasat atau mendakwa rakyat,” hujah Latheefa dalam satu hantaran di laman X.
Menurutnya lagi, sebarang pendakwaan sama ada di bawah undang-undang sivil atau syariah, hanya boleh dibuat oleh pihak pendakwa selepas siasatan yang adil dan saksama oleh badan penyiasatan yang berkenaan.
“Dengan melancarkan serangan ini terhadap Wan Sabrina, menteri tersebut telah memalukan beliau secara terbuka walaupun beliau belum didapati bersalah atas sebarang kesalahan.
“Tindakan ini juga menjejaskan hak asas Wan Sabrina untuk mendapat siasatan dan perbicaraan yang adil,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tindakan terhadap Dolla bersifat sensasi, obsesi?
Dalam penjelasannya, hujah Latheefa, tindak balas terhadap Sabronzo dan kumpulannya bersifat sensasi serta menunjukkan obsesi tidak menyenangkan terhadap kesucian wanita, sambil mengabaikan sikap misogini yang berbahaya dalam masyarakat.
Beliau juga turut mempertikaikan asas penilaian Mohd Na’im terhadap video muzik berkenaan.
“Bagaimana menteri memutuskan bahawa video itu terlalu seksi? Adakah beliau menontonnya sendiri? Apakah kriteria untuk membuat penilaian ini? Mungkin beliau sepatutnya ‘menundukkan pandangan’ sahaja,” tegasnya.
Sehubungan itu, Latheefa dalam kenyataan tersebut, menyeru agar menteri dan kementeriannya menumpukan perhatian kepada isu yang lebih penting, termasuk ribuan kanak-kanak yang dinafikan kerakyatan kerana dokumen perkahwinan ibu bapa mereka tidak lengkap.
“Bukankah mempertahankan kanak-kanak yang tidak bersalah itu adalah tanggungjawab agama tertinggi kita?” soal beliau.

Universal Music Malaysia tarik keluar video muzik Dolla
Terdahulu, pihak Universal Music Malaysia telah menarik keluar siaran video muzik terbaru Dolla berjudul, Question daripada semua platform digital susulan kenyataan media Mohd Na’im tersebut
Menurut laporan media, tindakan itu diambil selaras dengan kenyataan Mohd Na’im yang menekankan kepentingan mengekalkan batasan serta sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Sebelum itu, dalam kenyatan media pada 15 November 2025 yang dipetik daripada laporan Berita Harian, Mohd Na’im memaklumkan bahawa beliau sedang meneliti kemungkinan mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap artis Islam yang berpakaian mencolok mata.
Penelitian itu termasuk arahan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti Muslim supaya ia kekal relevan dan sesuai dengan tuntutan agama.
“Dari sudut tindakan itu kita akan lihat (terlebih dulu) kalau ada pelanggaran kepada mana-mana peraturan, enakmen dan jenayah syariah… tindakan jenayah syariah dalam penelitian kita,” jelasnya.

Suara pendakwah bebas wanita
Sehari sebelum itu, pendakwah, pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun pada 14 November tampil menegur secara terbuka kumpulan Dolla, melalui kenyataannya di media sosialnya yang kemudian dilaporkan media tempatan.
Kenyataan Asma’ itu selepas beliau menonton klip video muzik terbaharu Dolla, Question yang disifatkannya semakin keterlaluan dan tidak mencerminkan imej seni negara.
DOLLA, inikah yang kita banggakan sebagai wajah Seni Hiburan Negara kita ? Dolla – tolonglah berubah.
“Bila ada lagu baru dari kumpulan ini, saya cuba fikir, ‘Mungkin kali ini lebih sopan, mungkin kali ini lebih bermaruah’.
“Jujurnya saya tak pernah ikuti atau tengok, tapi ada sahaja sesiapa berikan link untuk diusahakan sesuatu.
“Makin lama makin parah, makin terbuka sana sini, makin ghairah, makin memalukan. Apa yang dipertontonkan bukan lagi satu seni hiburan.
“Ia sudah sampai satu tahap pertunjukan dalam laman gelap atau club tapi secara terangan atas nama seni,” tulisnya di media sosial berkenaan.

Asma’ juga menyatakan rasa sedih kerana salah seorang anggota Dolla merupakan wanita Islam.
“Pakaian ketat melekat, singkat terbuka melampau, gerakan mengiurkan semuanya dipakejkan sebagai satu seni lagu.
“Paling menyedihkan, salah seorang anggotanya adalah wanita Islam, dan walau yang bukan islam sekalipun, anda tetap bawa imej Negara Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara ke-5 iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Menurut Asma’, gaya persembahan dan penampilan Dolla kini seakan tidak lagi berada dalam kategori seni hiburan yang wajar dan turut menzahirkan kebimbangan apabila budaya yang salah mula dianggap normal.
“Bagi saya, videonya amat tidak bermoral, memalukan wanita Islam, memalukan negara yang namanya Malaysia, negara Islam. Lebih perit… ada orang yang mempertahankan dengan pujian dan rasa bangga.
“Inilah bahaya apabila normalisasi maksiat mula dianggap trend. Apa yang salah dianggap biasa.
“Apa yang haram dianggap ‘tak apa’. Apa yang menjolok mata dianggap ‘artistic’.
Ini bukan kempen benci. Ini kempen sedarkan diri. Kalau budaya salah berhenti disokong, budaya itu akan mati. Kalau budaya itu berubah, masyarakat pun berubah.
“Semoga Allah SWT menjaga Malaysia daripada hilangnya rasa malu dan kembalikan kita kepada hiburan yang lebih sopan, terdidik, berkat dan diredhai,” katanya dalam kenyataan itu.

“Biar para ustazah pula yang tegur Dolla ” – PU Syed
Ini bukan kali pertama Dolla yang turut dianggotai Tabby (atau nama sebenarnya, Tabitha Ariel Lam) dan Angel (Angelina Chai Ka Ying) ‘menggelegak’ dengan isu seksi.
Sekitar Ogos 2025, mereka sekali lagi menjadi bualan ramai dan topik hangat dalam media sosial apabila tampil dengan berpakaian ‘minimalis’ pada konsert Latihan Pestapora Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 Julai 2025.
Penampilan kumpulan trio itu dikatakan melampaui batas dan garis panduan berpakaian untuk artis tempatan khususnya.
Ada dalam kalangan peminat juga sempat mengimbau semula bagaimana Faizal Tahir pernah digam gara-gara membuka baju ketika membuat persembahan sekitar tahun 2008 dan Mimy Fly dikecam hebat gara-gara berkemban dalam video muzik, Serumpun sehingga dia bertindak memadam video tersebut yang memuat naik video baharu yang telah disunting.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian pendakwah selebriti, PU Syed (atau nama penuhnya, Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak) yang sekali lagi dilihat menegur kumpulan Dolla atas isu yang sama.

“Saya pernah tegur kumpulan Dolla setahun yang lalu. Namun, teguran yang saya berikan kepada artis-artis seperti mereka ini boleh diibaratkan seperti mencurah air atas daun keladi.
“Saya juga tegas menegur pihak berkuasa agar dikuatkuasakan etika pakaian terhadap rakyat terutamanya para artis dan pempengaruh lebih-lebih lagi yang beragama Islam daripada berpakaian mencolok mata.
“Mereka sudah menunjukkan contoh yang buruk kepada peminat dan tak pelik jika ramai yang berpakaian seolah-olah bertelanjang,” hujahnya.
Disebabkan teguran beliau tidak dipedulikan, PU Syed memohon agar para ustazah pula ke depan menasihati Dolla.
“Biarlah ustazah-ustazah yang tegur pula. Bila lelaki tegur dikatakan kita melihat mereka.
“Sedangkan saya dikirimkan tangkap layar oleh pengikut media sosial. Saya tak tahu isu ini tetapi dikongsikan netizen yang bencikan perilaku maksiat. Mohon pihak berwajib cakna terhadap isu ini,” katanya.
Komen Voolora: No comment!
