
Oleh BIANCA HILMAN
KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 836 orang membabitkan tiga daerah iaitu Kota Bharu, Bachok dan Tumpat sehingga jam 8 malam ini.
Terdahulu, mangsa banjir Kelantan meningkat mendadak kepada 486 individu terdiri 205 keluarga menjelang malam setakat jam 7 malam tadi berbanding 43 mangsa daripada 12 keluarga pada pagi Sabtu.
Terdahulu, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan seramai 467 individu melibatkan 199 keluarga kini berada di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga jajahan.
Bachok merekodkan 308 orang melibatkan 94 keluarga yang berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan dan SK Jelawat.
Sementara itu di Tumpat, dua PPS dibuka di SK Pengkalan Kubor 2 dan SK Sri Tumpat 2, yang menempatkan 145 individu daripada 75 keluarga yang dipindahkan.
Di Kota Bharu, dua PPS mula beroperasi iaitu SK Tapang yang menempatkan 22 orang dan SK Parang Puting dengan 21 orang.
Portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang kembali pada paras normal yang sebelum ini berada pada paras berjaga-jaga (57.09 meter).
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan enam negeri bermula hari ini.

Amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan
Menurut kenyataan MetMalaysia, negeri terlibat ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (merangkumi daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar) hingga Isnin (24 November).
Amaran sama juga dikeluarkan bagi Kelantan dan Terengganu hingga Rabu ini (26 November).
Di Kelantan, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk membabitkan lima daerah bermula hari ini hingga Rabu ini (26 November)
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, daerah terbabit ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih.
“Amaran hujan berterusan tahap waspada berkuat kuasa hari ini sehingga 24 November membabitkan empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar).
“Amaran sama juga dikeluarkan bagi Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang) dan Terengganu hingga Rabu ini (26 November),” ujar kenyataan itu.

Terengganu juga mula banjir: Pulau Redang lokasi pertama
Terengganu mula berdepan banjir selepas hujan lebat berterusan sejak malam Jumaat, ditambah fenomena air pasang besar yang meningkatkan paras air di kawasan rendah, menyaksikan Pulau Redang di Kuala Nerus menjadi lokasi pertama mencatatkan kejadian banjir.
Ketua Polis Negeri merangkap Komander Operasi Bencana Negeri tahap dua, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, memaklumkan bahawa operasi pemindahan mangsa kini sedang giat dilaksanakan oleh pasukan penyelamat.
Beliau mengingatkan penduduk di kawasan berisiko agar berpindah segera ke PPS yang telah disediakan kerajaan serta sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa.
“Pengurusan bencana ini bukan hanya melibatkan PDRM, tetapi turut dibantu APM, Bomba dan agensi lain,” katanya ketika ditemui nedia pada program Monsun Fun Ride, Fun Run dan Fun Walks PDRM 2025.
Beliau turut menyeru komuniti setempat—termasuk ketua kampung—untuk menyalurkan maklumat tepat kepada Bilik Gerakan PDRM, balai polis berhampiran serta Bilik Kawalan Operasi Bencana Negeri.
Mengikut amaran luruan monsun yang dikeluarkan MetMalaysia, lebih banyak kawasan dijangka terjejas mulai Ahad.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan operasi penyelamatan berjalan lancar,” katanya
Sehubungan itu, kenyataan METMalaysia pula memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.
“Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” kata kenyataan itu.
