Sunday, April 19

Kedah pula banjir: Beberapa sungai di Selangor, Perlis, Sarawak melepasi paras bahaya

Oleh BIANCA HILMAN

KUALA LUMPUR: Kedah menjadi negeri terbaharu yang dilanda banjir, selepas Kelantan dan Terengganu, sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga buah negeri itu sebanyak 2,112 mangsa sehingga awal pagi ini. 

Menurut Laman web Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sehingga pukul 10 pagi, seramai 1,565 orang di Kelantan, 264 orang di Terengganu manakala 225 orang di Kedah.

Sementara, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua 225 mangsa daripada 66 keluarga dari daerah Kulim ditempatkan di PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik.

“Mukim yang terlibat ialah Sungai Seluang dan mangsa adalah dari Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Paya Serdang, Kampung Titi Tok Aris dan Kampung Padang Cina,” menurut kenyataan itu hari ini.

Di Terengganu, situasi banjir menunjukkan sedikit penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS berbanding malam tadi.

Menurut laman web info bencana JKM, sebanyak 264 mangsa daripada 87 keluarga dari Kampung Baru, Pulau Redang masih berlindung di PPS Masjid Kampung Pulau Redang di Kuala Nerus berbanding 276 mangsa malam tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di tujuh negeri setakat 1 tengah hari ini.

Paras air di beberapa sungai utama di Perlis, Sarawak dan Selangor terus meningkat pagi ini, dengan beberapa lokasi sudah melepasi paras bahaya dan amaran, menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal Public InfoBanjir.

Tiga stesen di Perlis catat paras bahaya

Di Perlis, situasi paling ketara direkodkan apabila tiga stesen mencatat paras bahaya, termasuk Empangan Timah Tasuh yang kini berada pada 29.86 meter, melebihi paras bahaya 29.6 meter, dengan trend meningkat setakat 10.30 pagi.

Turut menunjukkan bacaan tinggi ialah:

  • Sungai Chuchoh di Kampung Chantik – 39.83 meter
  • Sungai Jarum di Kampung Masjid – 33.61 meter

Selain itu, Sungai Arau, Sungai Jarum (F2) dan Sungai Buluh pula berada pada paras amaran dan waspada, dipengaruhi hujan sederhana antara 1.5 hingga 25 milimeter

Di Sarawak, beberapa lokasi turut merekodkan bacaan amaran dan waspada, namun dengan trend menurun. Lokasi yang terlibat termasuk:

Benawa, Miri – 6.39 meter

Nanga Lemai B, Sibu – 3.41 meter

Lubok Piasau II, Limbang – 1.58 meter

Long Teru, Miri – 7.38 meter

Marudi, Miri – 3 meter

Wang Kelian terputus hubungan
Sementara itu, tular di Facebook situasi pagi ini menujukkan kawasan tinggi di Wang Kelian, Perlis dilanda banjir dengan arus deras angkara hujan lebat yang melanda secara berterusan.

Ia mengakibatkan jambatan utama runtuh dan akses keluar masih dari atau ke kawasan itu terputus. Sehubungan itu, penduduk Wang Kelian terputus hubungan susulan tanah runtuh yang berlaku di laluan bercerun yang menjadi satu-satunya laluan masuk ke kawasan itu.

Tanah runtuh dilapor berlaku susulan di laluan dari View Point Wang Kelian menuju Kampung Wang Kelian disebabkan disebabkan taburan hujan luar biasa yang berlaku sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, berkata selain tanah runtuh terdapat juga kejadian pokok tumbang di Jalan Wang Kelian, sehingga menyebabkan laluan terputus sementara.

Sehubungan itu, pasukan bomba dan penyelamat kini sedang bertungkus-lumus mengeluarkan penduduk di situ ke lokasi selamat.