
Oleh BIANCA HILMAN
KUALA LUMPUR: Perak menjadi negeri kelapan di Malaysia dilanda banjir bermula pada hari ini apabila seramai 22 mangsa daripada 13 keluarga telah ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, setakat jam 11.20 malam tadi.
Menurut laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah terbabit banjir di Perak ialah Manjung membabitkan 17 mangsa daripada 10 keluarga, Batang Padang (empat mangsa daripada dua keluarga), dan Perak (seorang mangsa dari satu keluarga).
Terdahulu, tular video banjir kilat melanda Setiawan, dalam daerah Manjung ketika hujan lebat.
Sehubungan itu jumlah keseluruhan mangsa banjir di lapan negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Kedah kini meningkat kepada 9,403 orang daripada 3,369 keluarga dan ditempatkan di 53 PPS.
Kelantan kekal dengan catatan bilangan mangsa banjir tertinggi dengan bertambah kepada 8,224 orang dari 3,011 keluarga dan kini ditempatkan di 33 PPS dalam empat daerah iaitu Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
