
Oleh BIANCA HILMAN
KUALA LUMPUR: Banjir musim tengkujuh Monsun Timur Laut yang melanda seluruh negara semakin buruk apabila lebih 11,103 mangsa dari 3,961 keluarga telah dipindahkan ke-74 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 10.57 pagi, hari ini.
Pertambahan bilangan mangsa banjir terutama disumbangkan oleh Perak yang kini menjadi negeri kedua paling tinggi penduduk yang dipindahkan ke PPS sejak semalam.

Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejumlah 1,086 mangsa banjir di empat daerah di Perak dari 364 keluarga kini ditempatkan 17 PPS berbanding hanya 22 mangsa daripada 13 keluarga di tujuh PPS, setakat jam 11.20 malam tadi.
Sebanyak empat daerah terbabit di Perak iaitu, Manjung dengan 597 mangsa daripada 203 keluarga, Perak Tengah (450 mangsa daripada 151 keluarga), Batang Padang (tiga mangsa daripada satu keluarga), serta Larut, Matang dan Selama (38 mangsa daripada 11 keluarga).

Kelantan kekal negeri tertinggi dari segi bilangan mangsa banjir yang kini mencecah 8,235 daripada 3,017 keluarga ditempatkan di 33 PPS.
Selain Kelantan dan Perak, enam lagi negeri yang dilanda banjir ialah Terengganu, Kedah, Perlis, Sarawak dan Pulau Pinang.
Amaran banjir lebih serius di empat negeri

Sementara, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran, hari ini mengeluarkan amaran risiko dlanda banjir yang lebih serius melibatkan beberapa kawasan di empat negeri, iaitu Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Ia adalah susulan hujan berterusan seperti dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini, selain paras air sungai yang dijangka meningkat dan melebihi aras bahaya.

