Monday, June 1

Selepas 7 hari hilang, tiada sebarang imej Jaslinda ditemui

Oleh BIANCA HILMAN

TAPAH: Tiada sebarang imej pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, ditemui.

Itu perkembangan terkini dilaporkan pada hari ini, Ahad, 31 Mei 2026 mengenai mangsa hasil semakan rakaman kamera pengawasan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di laluan Bukit Berapit 2, biarpun semalam (Sabtu) dilaporkan kelibat Jaslinda dilihat melintasi salah satu kamera pengawasan di lokasi laluan pendakian Gunung Batu Putih, dipercayai bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka pada 24 Mei lalu. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon dilaporkan sebagai berkata, dapatan itu diperolehi hasil pemeriksaan dilakukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.30 tengah hari pada Ahad.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan itu, pasukan SAR bersama Perhilitan telah digerakkan ke satu lagi lokasi kamera pengawasan di Gunung Rayu bagi mendapatkan kad memori bagi tujuan pemeriksaan.

“Langkah ini bagi mengenal pasti kemungkinan mangsa tersasar dari laluan utama pendakian.

“Lokasi kamera di Gunung Rayu ini berada kira-kira satu kilometer di luar trek laluan Sukaneka-Gunung Rayu-Bukit Berapit-Pos Musoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan koordinat kamera pengawasan tersebut, kawasan berkenaan terletak dalam daerah Hulu Jelai di Lipis, Pahang.

“Walaupun di luar laluan utama, pemeriksaan tetap dilakukan sebagai usaha mengesan sekiranya mangsa melalui kawasan tersebut,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Sayani menyatakan bahawa operasi SAR turut berdepan cabaran apabila komunikasi dengan pasukan di lapangan terputus dipercayai akibat berada di kawasan lembah selain liputan komunikasi yang terhad.

“Sehingga jam 10 pagi hari ini (Ahad), seramai 21 anggota pasukan SAR masih berada di lapangan melibatkan JBPM (13), Jabatan Perhutanan (tiga) dan Malim Gunung Perak (MGP) seramai lima orang,” jelasnya.

Ini bermakna genap 7 hari kehilangan Jaslinda Kehilangan Jaslinda Saludin ketika menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Batu Putih, di sini Perak terus menjadi perhatian ramai, selepas negara digemparkan dengan kehilangan Nur Izzati Humaira Azizul, 19, pada Sabtu, 23 Mei lepas ketika mendaki di kawasan Bukit Changkat Asa, Hulu Langat, Selangor bersama ahli keluarga dan rakan-rakan sebelum mayatnya dijumpai empat hari hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Kehilangan arwah Nur Izzati Humaira itu dilaporkan sehari sebelum Jaslinda pula dilaporkan hilang.

Namun tidak seperti Nur Izzati Humaira, sebaliknya Jaslinda bukan pendaki baharu., malah dilaporkan bahawa suaminya, Haszman Othman, 61, telah mengesahkan isterinya itu mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam aktiviti mendaki dan sememang meminati cabaran lasak.

Jaslinda yang merupakan kerani di sebuah syarikat swasta dilaporkan bertolak dari kediaman mereka di Damansara, Selangor bersama dua orang rakannya bagi menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Sehubungan itu, Jaslinda dan dua rakannya itu dilaporkan telah menyertai 10 lindividu lain serta Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan memulakan pendakian pada jam 2 pagi Sabtu, 23 Mei 2026.

Bagaimanapun, ketika pendakian itu, beliau dan Mohd Hanafi Neikmat, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti seketika bersama seorang MGP, manakala rakan-rakan lain meneruskan misi ke puncak bersama seorang lagi MGP yang bersama mereka.

Namun, Jaslinda kemudian dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung bersendirian dengan kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi Ahad, 24 Mei.

“Hafiz… ambil gambar. ‘Akak’ (Saya) sudah sampai.” 

Itu mesej terakhir disampaikan Jaslinda Saludin, 49, kepada malim gunung perhutanan (MGP) yang membawa dia dan kumpulannya mendaki Gunung Batu Putih, dekat Tapah, Perak.

Mesej itu ‘diukir’ Jaslinda di atas tanah di puncak gunung terbabit, sekali gus menunjukkan wanita itu sudah tiba di puncak sebelum dia dikesan hilang, pada Ahad  tersebut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad  menurut laporan Buletin TV3 pada hari ini, telah mengumumkan operasi SAR Jaslinda  akan diteruskan sementara menunggu perkembangan terkini hasil mesyuarat penyelarasan yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Menurut beliau, pihaknya akan meneliti perkembangan semasa operasi berdasarkan hasil mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Batang Padang itu.

“Insya-Allah, kita akan memaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan mesyuarat tersebut,” katanya.

Semoga Jaslinda ditemui dengan selamat. – VOOLORA 31/5/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *