Friday, June 5

‘Backrooms’ pecah rekod ‘Scream 7’, ‘Michael’ hampiri AS$900 juta

Oleh BIANCA HILMAN

FILEM seram-thriller terbaharu, Backrooms mencipta kejutan apabila mencatat ‘ledakan’ kutipan pembukaan global (tiga hari tayangan hujung minggu Jumaat-Ahad) sebanyak AS$118 juta berbanding kos pembikinannya AS$10 juta, sekali gus muncul sebagai filem genre berkenaan dengan pembukaan terbesar 2026 setakat ini mengatasi rekod yang disandang Scream 7 dengan kutipan minggu pembukaan AS$97.1 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$36 juta disumbangkan oleh pasaran antarabangsa, mengatasi kutipan minggu pembukaan luar negara Scream 7 yang meraih AS$33.1 juta sebelum ini.

Kejayaan filem arahan Kane Parsons itu turut menyaksikannya menjadi pembukaan terbesar untuk produksi studio A24 di lebih 30 negara termasuk Amerika Latin, United Kingdom, Australia/New Zealand, Korea Selatan, Timur Tengah, Scandinavia, Taiwan, dan Turkiye.

Di Amerika Latin, Backrooms menguasai carta dengan kutipan AS$12.7 juta, manakala United Kingdom menyumbang AS$5.6 juta dan Australia/New Zealand AS$4.4 juta. 

Filem itu turut menduduki tangga teratas di beberapa pasaran utama termasuk Itali dan negara-negara Scandinavia.

Lebih menarik, kutipan pembukaan global Backrooms mengatasi beberapa filem seram-thriller popular lain termasuk Weapons (+62%), Five Nights at Freddy’s 2 (+5%) dan Final Destination: Bloodlines (+4%).

Backrooms yang mengisahkan mengenai seorang pemilik kedai perabot, Clark (lakonan Chiwetel Ejiofor) dan ahli terapinya, Mary (Renate Reinsve), telah menemui dimensi ruang liminal yang seolah-olah tidak berkesudahan yang diakses melalui ruang bawah tanah kedai tersebut dijadual memasuki beberapa pasaran baharu pada minggu hadapan termasuk Sepanyol, Rusia, Filipina, Hong Kong dan Malaysia.

Sementara itu, Star Wars: The Mandalorian and Grogu mencatat kutipan hujung minggu antarabangsa sebanyak AS$27.8 juta walaupun mengalami penurunan 53 peratus berbanding minggu sebelumnya sejak mula ditayangkan pada 22 Mei lepas.

Filem terbitan Disney itu kini mengumpul AS$246.6 juta di seluruh dunia (berbanding kos pembikinannya AS$165 juta), dengan AS$109.2 juta daripada pasaran antarabangsa dan AS$137.4 juta daripada Amerika Utara.

Dalam perkembangan lain, filem seram-thriller romantik, Obsession terbitan Focus Features yang dihasilkan dengan kos hanya AS$1 juta terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mengumpul AS$148 juta di seluruh dunia selepas tiga minggu tayangan.

Hujung minggu lalu sahaja, filem arahan Curry Barker itu meraih AS$40.2 juta di pasaran global termasuk AS$26.4 juta di Amerika Syarikat.

Prestasi luar biasanya di Amerika menjadikan Obsession sebagai antara filem paling berjaya dalam sejarah Focus Features di pasaran domestik.

Dalam masa sama, perhatian industri kini turut terarah kepada filem biopik Michael yang terus menghampiri kutipan global sekitar AS$900 juta (berbanding kos pembikinannya AS$200 juta) manakala kutipan terkumpul The Devils Wears Prada 2 pula mencecah AS$666 juta (berbanding kos AS$100 juta), sekali gus berpotensi menjadi antara filem paling berjaya tahun ini di peringkat antarabangsa. – VOOLORA 1/6/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *