Friday, June 5

Cacing pemakan daging dikesan di Texas

Oleh ZARA JANE

TEXAS: Industri penternakan Amerika Syarikat (AS) berdepan kebimbangan baharu apabila satu kes disyaki melibatkan parasit berbahaya dikenali sebagai ‘New World screwworm’ atau cacing pemakan daging dikesan di selatan Texas.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), sampel yang diambil daripada dua ekor anak lembu di sebuah ladang ternakan di La Pryor, Texas kini sedang menjalani ujian lanjut di makmal persekutuan selepas keputusan awal menunjukkan hasil positif.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai ‘positif andaian’, bermakna ujian awal menunjukkan tanda-tanda kehadiran parasit berkenaan, namun pengesahan rasmi masih belum diperoleh.

Sekiranya disahkan, ia bakal menjadi ancaman serius kepada sektor ternakan negara itu yang sejak lebih setahun lalu berusaha menghalang kemasukan parasit berkenaan dari Mexico.

USDA memaklumkan pihaknya telah menggerakkan pasukan di lapangan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan situasi tersebut.

Khabar angin mengenai penemuan kes berkenaan turut menggoncang pasaran niaga hadapan lembu AS apabila pelabur mula bimbang terhadap kemungkinan gangguan bekalan ternakan.

Cacing screwworm merupakan larva lalat parasit yang bertelur pada luka haiwan berdarah panas. Selepas menetas, ratusan larva akan memakan tisu hidup mangsa menggunakan mulut yang tajam sebelum menyebabkan kecederaan serius atau kematian jika tidak dirawat.

Walaupun lalat pembawa parasit itu boleh menjangkiti manusia dan haiwan peliharaan, pakar menegaskan risiko kepada manusia adalah rendah serta tidak menjejaskan keselamatan makanan.

Jurucakap USDA Texas, Don McLaughlin berkata, gambar dan video yang diterimanya menunjukkan beberapa larva berada dalam luka berdarah pada seekor anak lembu, namun beliau menegaskan identiti parasit itu masih belum dapat dipastikan.

“Ia kelihatan seperti cacing screwworm, tetapi setakat ini belum ada pengesahan rasmi,” katanya.

Pakar sebelum ini menganggarkan wabak cacing screwworm mampu menyebabkan kerugian ekonomi sehingga AS$1.8 bilion kepada Texas sahaja.

Selain menjejaskan kesihatan ternakan, serangan besar-besaran boleh mengurangkan populasi lembu negara itu, sekali gus mendorong kenaikan harga daging lembu dalam jangka panjang.

Bagi menghalang penyebaran parasit tersebut, AS telah menutup import lembu dari Mexico sejak lebih setahun lalu.

Kerajaan AS turut membelanjakan jutaan dolar bagi memperlahankan penularannya melalui pembinaan kemudahan pengeluaran lalat mandul, pemasangan perangkap serta pemantauan intensif terhadap ternakan di kawasan berisiko.

USDA sebelum ini mengesahkan satu kes screwworm ditemui kira-kira 25 batu di selatan sempadan Texas, di negeri Coahuila, Mexico, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa parasit itu semakin hampir memasuki wilayah AS.

Buat masa ini, Suruhanjaya Kesihatan Haiwan Texas menegaskan tiada kes New World screwworm yang disahkan di negeri tersebut, namun pemantauan rapi terus dijalankan bagi mengelakkan ancaman yang boleh menggugat industri ternakan negara itu. -VOOLORA 4/6/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *