Sunday, April 19

Banjir kini melanda 7 negeri: Jumlah mangsa cecah 9,155

Oleh BIANCA HILMAN

KUALA LUMPUR: Banjir yang kini melanda enam negeri di Malaysia, terbaharu di Sarawak, Selangor telah melonjakkan jumlah mangsa mencecah kepada 9,155; dengan Kelantan terus mencatatkan bilangan tertinggi dan pertambahan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu 8,150, setakat jam 10.03 malam ini.

Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu membabitkan 2,990 keluarga yang ditempatkan di 33 PPS di empat daerah.

Empat daerah tersebut membabitkan Tumpat (4,341 mangsa), Bachok (1,467), Kota Bharu (2,222) dan Pasir Puteh (120).

Mangsa banjir di Terengganu pula mencatat jumlah mangsa kedua tertinggi, kini 362 orang daripada 112  keluarga yang berlindung di dua PPS di Besut.

Selangor, negeri terbaharu dilanda banjir

Di Kedah, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 288 orang daripada 100 keluarga yang kini ditempatkan di tiga PPS di Kulim.

Pulau Pinang juga mencatat pertambahan kepada 169 mangsa daripada 46 keluarga berbanding 130 mangsa (daripada 31 keluarga) pada jam 8.01 malam tadi, dan mereka kini ditempatkan di dua PPS di Seberang Perai Utara.

Perlis pula mencatatkan 128 mangsa banjir daripada 39  keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Padang Besar.

Sarawak menjadi antara negeri terbaharu dilanda banjir selepas seramai 44 mangsa daripada enam keluarga pada hari ini ditempatkan di satu PPS di daerah berkenaan.

Selangor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir yang menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga di satu daerah dan ditempatkan di sebuah PPS Sabak Bernam yang baru dibuka pada hari ini.

Perak dijangka turut dilanda banjir

Terbaharu, Perak dikhuatiri menjadi negeri kelapan dilanda banjir apabila empat PPS telah dibuka hari ini melibatkan tiga daerah, iaitu di Perak Tengah, Manjung dan Batang Padang, sementara video tular menunjukkan Setiawan telah dilanda banjir kilat, namun jumlah mangsa banjir setakat jam 10.03 malam ini belum diketahui.

Kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JAS) tentang amaran banjir di beberapa kawasan di Perak dan Kelantan antara 21 hingga 26 November ini susulan ramalan hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini.

Menurut kenyataan itu, amaran berkenaan dikeluarkan susulan lembangan sungai dijangka terkesan dengan banjir monsun.

Di Perak, kawasan terlibat ialah di daerah Kerian iaitu Lembangan Sungai Kurau (Sungai Kurau), dan Lembangan Sungai Kerian (Sungai Kerian, Sungai Samagagah dan Sungai Beriah).