
Oleh BIANCA HILMAN
KUALA LUMPUR: Isu melibatkan penyanyi Nubhan Ahamad dan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, kembali menjadi perhatian apabila timbul dakwaan barangan peribadi Dr Fie dibuang keluar dari rumah yang didiaminya sebelum ini.
Bagaimanapun, peguam syarie yang mewakili Nubhan, Mohd Redzuan Ramli, tampil menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak benar serta bersifat fitnah.
Menurut Mohd Redzuan dipetik dari laporan Harian Metro sebagai berkata bahawa tindakan Nubhan mengalihkan barangan milik bekas isterinya dilakukan kerana beliau bercadang untuk menetap semula di kediaman berkenaan, yang juga merupakan rumah atas namanya sendiri.
“Anak guam saya meminta pandangan undang-undang sebelum mengambil tindakan. Saya jelaskan bahawa ia tidak menyalahi undang-undang selagi dilakukan secara baik dan berhemah,” jelasnya.
Tambah beliau, tempoh iddah Dr Fie juga telah lama berakhir dan sehingga kini Nubhan masih menanggung sepenuhnya bayaran rumah serta bil utiliti. Proses pemindahan barangan pula dilakukan secara teratur dengan menggunakan khidmat syarikat angkut berdaftar.
“Barang-barang tidak dicampak keluar. Ia disusun dan dialihkan dengan cermat. Jika berlaku sebarang kerosakan, Nubhan bersedia membayar ganti rugi,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Nubhan turut menyatakan kesediaannya untuk menanggung kos sewaan rumah lain sekiranya itu lebih selesa untuk anak-anak yang kini berada di bawah jagaan penuh Dr Fie. Anak-anak juga bebas keluar masuk rumah tersebut tanpa sebarang sekatan.
Pihak peguam turut memaklumkan bahawa Nubhan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah serta spekulasi melampau di media sosial berhubung isu ini.
Sebelum ini, Dr Fie meluahkan rasa sedih dan kecewa menerusi hantaran di Threads selepas mendapati barangan peribadinya telah dialihkan ketika beliau berada di luar negara. Luahan tersebut mendapat perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 26 November lalu memutuskan Dr Fie memperoleh hak penjagaan penuh terhadap tiga orang anak mereka, manakala pasangan ini disahkan bercerai talak dua pada 2 Disember di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
