Saturday, June 13

Jaslinda ditemui selamat selepas 14 hari hilang

Oleh BIANCA HILMAN

IPOH: Selepas 14 hari bertarung dengan ketakutan, kelaparan dan ketidakpastian di tengah hutan belantara, pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi di Gunung Batu Putih akhirnya ditemui dalam keadaan selamat petang tadi.

Berita penemuan Jaslinda Saludin, 49, membawa sinar kegembiraan kepada keluarga dan rakan-rakan yang tidak pernah berhenti berharap agar keajaiban berlaku.

Pendaki wanita itu ditemui kira-kira jam 3 petang di kawasan berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh, selepas lebih dua minggu menjadi fokus operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang mencuri perhatian seluruh negara.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jaslinda ditemui oleh seorang penduduk Orang Asli, Nazri Bah Eng, sebelum maklumat berhubung penemuan tersebut disalurkan kepada pihak berkuasa.

“Beliau memaklumkan kepada anak saudaranya yang berada di Johor supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Jaslinda kini ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara tindakan lanjut diuruskan pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penemuan itu menamatkan pelbagai persoalan mengenai nasib wanita berkenaan yang hilang sejak 24 Mei lalu ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman melalui laluan Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih dan Kuala Woh.

Jaslinda yang merupakan seorang kerani di sebuah syarikat swasta berlepas dari Damansara, Selangor bersama dua rakannya untuk menyertai ekspedisi tersebut.

Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan pendakian yang terdiri daripada 13 peserta serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang memulakan perjalanan pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu.

Namun, ketika pendakian berlangsung, Jaslinda dan seorang lagi peserta, Mohd Hanafi Neikmat, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti berehat bersama seorang MGP.

Ketika peserta lain meneruskan perjalanan ke puncak, Jaslinda kemudiannya dipercayai bergerak bersendirian sebelum kali terakhir dilihat pada jam 7.30 pagi, 24 Mei.

Sejak kehilangan itu dilaporkan, pelbagai usaha digerakkan bagi mengesan lokasi wanita berkenaan. Pasukan SAR daripada pelbagai agensi bergabung tenaga menelusuri laluan pendakian, denai hutan, cerun berbukit dan kawasan belantara yang mencabar.

Malah, keluarga dan kenalan rapat tidak putus-putus mengadakan solat hajat serta memanjatkan doa agar Jaslinda ditemukan dalam keadaan selamat.

Selepas dua minggu yang penuh debaran dan harapan, doa mereka akhirnya dimakbulkan apabila Jaslinda ditemui hidup dan sihat.

Walaupun keadaan kesihatannyasecara terperinci masih menunggu penilaian lanjut pihak berkuasa dan pasukan perubatan, berita penemuannya dianggap satu keajaiban yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Dalam dunia pendakian yang sering menguji kekuatan fizikal dan mental, kisah Jaslinda kini menjadi simbol ketabahan, daya juang dan harapan yang tidak pernah padam walaupun berdepan situasi paling getir.

Penemuan Jaslinda dalam keadaan selamat ini amat melegakan selepas negara digemparkan dengan berita menyedihkan penemuan mayat remaja berusia 19 tahun, Nur Izzati Humaira Azizul pada 26 Mei 2026 di kawasan kebun, kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dilaporkan hilang selama 4 hari ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor,

Kes Jaslinda menyamai kes seorang pemuda, Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20 tahun, yang dilaporkan pada 2024 hilang selepas terpisah daripada kumpulan pendaki ketika berada di Bukit Broga, Semenyih, Selangor namun ditemui selamat setelah tujuh hari pencarian dan berjaya ditemui oleh pasukan SAR dan anggota Mountain Search and Rescue (MOSAR). – VOOLORA 6/6/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *