
Oleh BIANCA HILMAN
“Apa yang kami lalui hanya sekelumit daripada apa yang dialami rakyat Palestin.”
– Greta Thunberg, aktivis Sweden
Dalam suhu membakar 40 darjah Celcius, dengan tangan bergari dan kepala tunduk ke tanah, Greta Thunberg, ikon aktivisme iklim dunia melalui lima hari bagaikan neraka di penjara Israel.
Dia tidak bersendirian. Bersamanya, ratusan aktivis termasuk 23 orang dari Malaysia dari 40 kapal dalam armada bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) cuba menyampaikan ubat dan makanan ke Gaza, wilayah yang dikunci, dibisukan, dan disekat bantuan.
Greta ditahan ketika flotilla aktivis GSF diserbu tentera laut Israel pada 1 Oktober 2025. Senjata diacukan, bendera dirampas, ubat-ubatan dibuang ke laut. Di pelabuhan Ashdod, penahanan bertukar menjadi penghinaan.
“Saya dipukul, ditendang, bendera Israel ditekan ke tubuh saya. Mereka mengheret saya ke tanah berbesi, merobek topi saya, dan memanggil saya ‘hora Greta’ — ‘pelacur Greta’ dalam bahasa Sweden,” ungkap Greta kepada akhbar Sweden, Aftonbladet.
Greta mendedahkan dia digasak ke ‘sangkar khas untuk wanita istimewa’, di mana pengawal mengukir hinaan dan gambar lucah pada begnya.
Di sana, dia melihat hampir 50 orang tahanan duduk dengan dahi menyentuh tanah, tangan diikat, dilayan tanpa air, tanpa belas kasihan.
Air diminta, bukan diberi. Sebaliknya, pengawal ketawa dan mengangkat botol mereka seperti trofi. Malam-malam di penjara itu bukan untuk tidur – tapi untuk berjaga, diganggu, digoncang dan dipaksa berdiri berulang kali.
Ketika seseorang daripada mereka pengsan, permintaan untuk bantuan doktor dibalas dengan ancaman: “Kami akan gas kamu.”
“Saya dalam keadaan terkejut, sakit, tetapi cuba bertenang. Banyak yang saya tak ingat.”
Greta juga menyebut bahawa Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, sendiri menjerit ke arahnya: “Kamu pengganas! Kamu mahu bunuh bayi Yahudi!” Sementara pengawal lain berswafoto dengannya seperti piala tahanan.
Namun kerajaan Israel menafikan segala-galanya. “Mengarut dan tidak berasas,” dakwa mereka. “Hak undang-undangnya dipelihara. Dia (Greta) tidak pernah buat aduan rasmi.”
Ironinya, Greta memilih untuk tidak segera diusir dari Israel – dia mahu tetap bersama tahanan lain sebelum akhirnya bersama70 individu pelbagai kewarganegaraan yang dibenarkan meninggalkan Israel pada Isnin, 6 Oktober 2025; dan hanya pada hari ini, 16 Oktober, Greta akhirnya bersuara mengenai pengalaman pahit diperlakukan bukan seperti manusia yang dialami aktivis GSF dan dirinya sendiri ketika berada dalam tahanan Israel.
“Kutu di sel, air paip berwarna coklat, tiada makanan mencukupi. Ini bukan tentang saya. Ini tentang ribuan rakyat Palestin yang ditahan tanpa bicara. Tentang kanak-kanak yang mungkin diseksa saat ini,” kongsi Greta.
Tiada gentar, Greta Thunberg – gadis berusia 22 tahun dari Sweden ini, kini menuntut keadilan. Bukan untuk dirinya semata-mata, tetapi untuk semua yang tak mampu bersuara – untuk didengari seluruh pelusuk tentang kekejaman Israel yang tidak berkesudahan terhadap rakyat Palestin.
Armada itu kini menjadi simbol — bukan hanya bantuan tetapi tentang keberanian seorang wanita muda yang mencetus dan mengepalai misi GSF, biar dihina dan dipukul, namun kekal berjiwa demi membawa harapan untuk rakyat Palestin.
#VooloraVoices
Di dunia yang kian ‘gelap’ angkara dilimpahi kekejaman manusia durjana, suara wanita seperti Greta Thunberg perlu didengar. Bukan kerana dia terkenal. Tapi kerana dia, seperti ramai wanita sebelum kita, berani dan tidak gentar untuk berkata (demi kemanusiaan): ENOUGH!

Tq Greta & Voolora💚