Saturday, May 30

Bunuh model, arkitek: Penerbit Hollywood dipenjara 146 tahun

Oleh BIANCA HILMAN

SEORANG penerbit Hollywood yang disabitkan kesalahan pada awal tahun ini kerana membunuh seorang model dan rakannya pada 2021 dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau selama 146 tahun.

Pejabat Peguam Daerah Los Angeles dalam kenyataan media pada 29 Oktober 2025, berkata David Brian Pearce, 42, didapati bersalah atas dua pertuduhan pembunuhan tahap pertama susulan kematian model, Christy Giles berusia 24 tahun dan rakannya, Hilda Marcela Cabrales-Arzola, seorang arkitek berusia 26 tahun akibat pengambilan berlebihan dadah fentanyl.

Pearce juga disabitkan dengan jenayah rogol dan serangan seksual lain terhadap tujuh wanita lain antara 2007 dan 2021.

Dia didakwa pada Julai 2022 dalam kematian berkaitan dadah.

Timbalan Peguam Daerah Seth Carmack memberitahu juri semasa perbicaraan Pearce bahawa lelaki itu telag memberi dadah kepada kedua-dua wanita sera tujuh mangsanya yang lain itu ‘untuk memudahkan serangan seksual’

“Defendan adalah seorang perogol dan kini dia seorang pembunuh,” kata Carmack.

Menurut pendakwa raya, Pearce bertemu Giles dan Cabrales-Arzola di sebuah parti di Los Angeles Timur sekitar jam 3 pagi pada 13 November 2021. 

Kira-kira dua jam kemudian, wanita itu menemani Pearce dan yang lain ke apartmennya di Beverly Hills di mana dia memberikan mangsa GHB dan fentanyl.

Pendakwa raya berkata Cabrales-Arzola menghubungi perkhidmatan perkongsian perjalanan dalam masa 35 minit selepas tiba di pangsapuri Pearce tetapi tidak pernah menaikinya.

Beberapa jam kemudian, Pearce dan rakannYa, pelakon Brandt Osborn, menurunkan dua wanita itu di luar hospital berasingan, menurut polis.

Giles ditemui mati akibat campuran kokain, fentanyl, ketamin dan GHB di luar sebuah hospital di Culver City.

Cabrales-Arzola pula ditemui tidak sedarkan diri di luar Pusat Perubatan Los Angeles Barat Kaiser Permanente, menurut polis. 

Osborn, yang didakwa dengan dua pertuduhan jenayah berkait kematian kedua-dua wanita itu sebagai ‘aksesori’ jenayah dilakukan Pearce, kini sedang menunggu kemungkinan perbicaraan semula terhadapnya.