
Oleh BIANCA HILMAN
KETIKA ramai daripada kita sibuk dengan rutin harian, satu berita mengejutkan datang dari Israel.
Bekas Ketua Peguam Tentera Israel, Mejar Jeneral Yifat Tomer-Yerushalmi, dilaporkan hilang pada pagi Ahad sebelum ditemui semula dalam keadaan selamat beberapa jam kemudian.
Keluarganya risau selepas gagal menghubunginya sejak awal pagi. Kereta beliau ditemui di pantai berhampiran Tel Aviv, bersama nota misteri yang dipercayai nota bunuh diri di rumahnya.
Segera, polis dan tentera Israel melancarkan operasi besar-besaran, dan akhirnya menemuinya selamat pada malam hari.
Kini, Tomer-Yerushalmi, 51, berada di bawah pengawasan pihak keselamatan untuk rawatan dan siasatan lanjut.
Keadaan ini berlaku hanya dua hari selepas beliau meletakkan jawatan pada 31 Oktober 2025, susulan kontroversi besar berkaitan penularan video penyeksaan dan rogol terhadap tahanan Palestin di kem tahanan Sde Teiman.
Video tular cetus kemarahan global
Video itu mencetuskan kemarahan global, menimbulkan persoalan tentang tekanan yang dihadapi pegawai kanan tentera seperti Tomer-Yerushalmi.
Bagi orang ramai, ini bukan sekadar laporan berita; ia memberi gambaran tentang tekanan mental dan emosi yang boleh melanda sesiapa, walaupun mereka berada di posisi paling berkuasa.
Mesej yang dilaporkan dalam nota beliau dikatakan peribadi, ditujukan kepada keluarga, menunjukkan sisi manusiawi di sebalik tajuk berita dan kontroversi besar.
Pihak berkuasa Israel kini menyiasat sama ada kehilangan beliau ada kaitan langsung dengan skandal video tersebut.
Dunia menunggu perkembangan lanjut, tetapi satu perkara jelas: di sebalik berita yang sensasi, wujud cerita manusia yang perlu difahami dan dihargai.
Tomer-Yerushalmi ditahan semalaman
Terkini, media antarabangsa melaporkan Tomer-Yerushalmi telah ditahan semalaman pada Isnin, menurut menteri keselamatan Israel, berikutan skandal yang tercetus selepas dia membocorkan video, meletak jawatan dan kemudian menghilangkan diri.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula dilaporkan telah melabelkan penularan video itu sebagai ‘serangan perhubungan awam yang paling teruk’ ke atas Israel negara haram itu sejak penubuhannya.
Melaporkan daripada Ramallah, di Tebing Barat yang diduduki, Nour Odeh dari Al Jazeera, berkata penahanan Tomer-Yerushalmi telah mewujudkan ‘ribut politik dan undang-undang di Israel’ , dengan menyatakan fokus kepada penyebar video itu telah lebih membayangi perhatian yang sepatutnya diberikan terhadap jenayah terhadap tahanan Palestin yang menjadi mangsa rogol itu.
“Terdapat banyak tumpuan pada fakta bahawa video ini dibocorkan, dengan tidak membincangkan bagaimana jenayah ini sebenarnya berlaku – dan fakta bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan bahawa jenis jenayah ini dilakukan secara sistematik,” kata Odeh.
“Dalam satu cara, ini adalah cara untuk mengalihkan perhatian daripada fakta bahawa jenayah ini sedang berlaku, dengan memberi tumpuan kepada wanita ini dan fakta bahawa dia ( Yifat Tomer-Yerushalmi) membocorkan video itu.”
Penyeksaan dan penderaan Israel terhadap tahanan Palestin telah dilaporkan selama bertahun-tahun. Tetapi bilangannya telah meningkat sejak perang terbaru Israel ke atas Semenanjung Gaza, dengan beberapa ahli politik Israel bahkan mempertahankan amalan itu.
Sekurang-kurangnya 75 tahanan Palestin telah meninggal dunia di penjara Israel sejak 7 Oktober 2023, menurut PBB.
Malah mayat rakyat Palestin yang dipulangkan oleh Israel menunjukkan tanda-tanda penyeksaan dengan ramai yang mempunyai kesan pada badan mereka, atau penutup mata dan gari masih pada sebahagian daripada mereka.
Sesetengah mayat kehilangan anggota badan atau gigi, manakala sebahagiannya kelihatan terbakar, kata Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza.
Voolora Voices:
Ia menunjukkan sisi manusiawi di sebalik berita kontroversi mengenai penderitaan tahanan Palestin di Israel.
Kisah ini mengajar kita tentang keperluan menjaga kesejahteraan emosi, menghadapi tekanan dengan sokongan yang betul, dan memahami bahawa kadangkala, mereka yang kelihatan kuat pun memerlukan bantuan.
