Sunday, April 19

Banjir makin serius di Kelantan: Lebih 1,600 penduduk dipindahkan

Oleh BIANCA HILMAN

KOTA BHARU: Setakat jam 8 pagi hari ini, seramai 1, 654  penduduk daripada 667 keluarga telah dipindahkan ke 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga jajahan yang terkesan, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat, berbanding malam tadi hanya 836 mangsa banjir.

Terkini, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat mencatat jumlah penduduk terjejas paling ramai dengan 651 individu daripada 278 keluarga, yang kini ditempatkan di tiga PPS, SK Sri Tumpat 2 dan SK Pengkalan Kubor 2 dan SK Kubang Batang, Tumpat.

Di Bachok, sebanyak 580 individu daripada 178 keluarga dipindahkan ke tiga PPS melibatkan SK Pauh Sembilan, SK Jelawat dan PPS terbaharu dibuka iaitu SK Pa’ Pura.

Sementara itu, Kota Bharu turut mencatat peningkatan jumlah penduduk terjejas dengan 423 individu daripada 211 keluarga kini berlindung di tujuh PPS – SK Sering, SM Raja Sakti, SK Tapang, SK Seribong, SK Islah, SK Parang Puting, dan SK Sabak.

Antara yang terbaharu dibuka malam tadi ialah PPS SK Islah, yang menempatkan 39 individu daripada 10 keluarga.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dalam kenyataannya berkata, susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada 21 November 2025, tiga lembangan sungai telah diramalkan terkesan dengan Banjir Monsun, iaitu Lembangan Sungai Kelantan (Jajahan Pasir Mas), Lembangan  Sungai Semerak (Pasir Puteh), dan Lembangan Sungai Kemasin (Kota Bharu).