Saturday, May 30

Polis wanita, mangsa penerbit Hollywood terbunuh

Oleh BIANCA HILMAN

POLIS wanita yang merupakan salah seorang mangsa rogol penerbit Hollywood, David Brian Pearce terbunuh ketika menjalankan tugas.

Lauren Craven merupakan salah seorang mangsa bersama-sama lapan lagi mangsa termasuk model Christy Giles dan rakan Giles, arkitek Hilda Cabrales-Arzola.

Craven, 25, meninggal dunia pada 23 Oktober 2025 kurang sebulan selepas hari lahirnya yang ke-25.

Pegawai polis dari La Mesa, California, itu telah  maut selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika menerpa untuk membantu mangsa yang terperangkap dalam kereta yang terbalik di lebuh raya di Interstate 8, timur laut San Diego pada jam 10.30 malam. 

David Brian Pearce (FOTO: Medsos)

Craven telah dikenal pasti hanya sebagai ‘Jane Doe #5’ sepanjang perbicaraan Pearce, di mana dia menghadapi keadilan bukan sahaja untuk kes dadah maut membabitkan Christy Giles, 24, dan Hilda Marcela Cabrales-Arzola, 26, tetapi juga tujuh mangsa rogol, termasuk Craven yang tampil membuat laporan polis selepas penahanan lelaki itu.

“Tindakan pegawai polis Lauren Craven di saat-saat terakhir hayatnya menunjukkan dedikasi dirinya yang tidak berbelah bahagi kepada perkhidmatan dan keselamatan orang lain – cerminan bagaimana dia hidup setiap hari,” tulis Jabatan Polis La Mesa di Facebook.

“Pearce menyerang Craven semasa dia tidak sedarkan diri pada 2020,”  kata pendakwa raya pada perbicaraan. 

Pearce dijatuhi hukuman enam tahun untuk jenayah itu, ditambah hukuman 15 tahun seumur hidup untuk kes-kes rogol yang lain.

Hilda Marcela Cabrales-Arzola (kiri) dan Christy Giles (FOTO: Medsos)

Pendakwa raya daerah Los Angeles membuat pendedahan yang mengejutkan  itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi LA menjatuhkan hukuman kepada Pearce kerana rentetan serangan seksual dan dua pembunuhan masing-masing terhadap Giles dan Cabrales-Arzola.

Selepas Pearce ditangkap susulan kematian Giles dan Cabrales-Arzola, tujuh wanita lain tampil termasuk Craven tampil membuat laporan Pearce telah menyerang mereka secara seksual dalam tempoh beberapa tahun, bermula pada tahun 2007.

Namun Craven tidak membiarkan pengalaman pahit itu memusnahkan impiannya, dan menyertai Jabatan Polis La Mesa pada Februari 2024 selepas melalui latihan di akademi polis Los Angeles. 

Akhirnya, matlamat Craven  untuk menjadi seorang pegawai polis tercapai, namun dia tidak sempat untuk menyaksikan hukuman yang dijatuhi terhadap Pearce.